Skim Perumahan Mampu Milik Di Segedup Akan Dibangunkan, 273 Lot Untuk Fasa Pertama

UKAS  > Edisi-Selatan, Edisi-Utama >  Skim Perumahan Mampu Milik Di Segedup Akan Dibangunkan, 273 Lot Untuk Fasa Pertama
0 Comments

SABTU, 25 FEBRUARI 2023

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan membangunkan Skim Pembesaran Kampung (SPK) di Kampung Segedup yang melibatkan sebanyak 273 lot bagi fasa pertama.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg memberitahu, Kerajaan Sarawak akan menanggung kos kemudahan infrastruktur SPK berkenaan yang menelan kos RM88 juta.

“Kita akan membangunkan untuk fasa pertama iaitu 273 lot di mana kita akan bangunkan skim perumahan mampu milik dan ini akan dibangunkan oleh pihak Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) dan juga Jabatan Tanah dan Survei.

“Infrastruktur di kawasan ini akan dibangunkan oleh pihak Jabatan Tanah dan Survei dengan perbelanjaan lebih kurang RM88 juta untuk parit, tembok, jalan raya, bekalan elektrik dan bekalan air,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melakukan lawatan ke tapak projek Jalan Sungai Maong ke Segedup di sini pada Sabtu.

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari menambah, selepas fasa pertama siap, SPK untuk fasa kedua akan dilaksanakan yang melibatkan sebanyak 227 lot seperti yang dibangunkan di Sungai Berdaun dan Kampung Kemuyang Sibu.

“Ini akan kita buka untuk masyarakat yang akan pindah di sini disebabkan oleh suasana kampung yang diubah suai. Sudah tentu dengan adanya skim ini, kawasan Sungai Maong dan Segedup, kampungnya akan besar dengan 1,000 lot iaitu 1,000 rumah,” ujarnya lagi.

Premier Sarawak memaklumkan, keutamaan untuk mendapatkan rumah di kawasan baru itu akan diberikan kepada penduduk Kampung Kudei yang melibatkan masyarakat Melayu dan Iban yang berhijrah di situ.

“Mereka di Kampung Kudei akan diberi keutamaan untuk mendapatkan rumah di kawasan baru ini kerana mereka banyak masyarakat Melayu dan masyrakat Iban yang berhijrah ke Kampung Kudei.

“Kita tempatkan dalam kawasan perumahan yang lebih selesa, tidak seperti yang ada di Kampung Kudei sekarang.

“Mereka yang mendiami rumah yang sangat sempit khususnya di Kampung Kudei Ulu, kita akan tempatkan di kawasan yang baru,” jelas beliau lagi.

Sementara itu, beliau turut mendedahkan bahawa, Kerajaan Sarawak merancang untuk menyambung Jalan Sungai Maong ke Segedup terus ke Kampung Sejijak di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.

“Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (semakan pertengahan penggal), kita akan juga menyambungkan jalan ini terus ke Kampung Sejijak yang mana kampung ini adalah sebuah sungai, bermakna jalan ini kita bangunkan menerusi satu lagi jalan penjajaran.

“Kita bina satu jambatan dan ia menuju ke Kampung Sejijak terus ke Taman Malihah dan ini bermakna kita ada jalan ini yang akan terus ke Kampung Gita-Jalan Matang.

“Dari situ juga kita akan sambungkan jalan Segedup ke Batu Kawa yang akan bertemu dengan Jalan Stephen Yong dan dari Jalan Stephen Yong itu jalan akan menuju ke lapangan terbang,” jelas Premier Sarawak lagi.

Terdahulu beliau telah menghadiri sesi taklimat Projek Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak yang disampaikan oleh Pengarah Kerja Raya Ir Ts Richard Tajan.

Hadir sama Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Datu Dr. Muhammad Abdullah Zaidel, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok Dato’ Ibrahim Baki dan ADUN Tupong Fazzrudin Abdul Rahman.-Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *