Program ‘Skills For Life’ Tawar Latihan Kemahiran Asas Untuk Belia

UKAS  > Edisi-Utara >  Program ‘Skills For Life’ Tawar Latihan Kemahiran Asas Untuk Belia
0 Comments

AHAD, 26 FEBRUARI 2023

MIRI: Program ‘Skills For Life’ dilaksanakan sejajar dengan usaha kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan untuk menangani peningkatan kos sara hidup setiap lapisan belia terutamanya belia berisiko dan mereka yang berada dalam kumpulan B40 atau M40.

Menurut Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, program tersebut diperkenalkan dengan tujuan menawarkan latihan kemahiran asas pada hujung minggu dengan konsep buat sendiri (do-it-yourself).

“Program ini ditawarkan secara percuma kepada belia dan komuniti setempat menerusi pelaksanaan kursus jangka pendek dengan menggunakan peralatan, kemudahan sedia ada dan kepakaran tenaga pengajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri.

“Ia secara tidak langsung membantu menangani kos sara hidup tinggi yang dihadapi oleh golongan belia dan juga masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan dibacakan oleh Ahli Majlis Bandaraya Miri Kaunselor Leslie Lau Ik Chie dalam Majlis Penangguhan dan Penyampaian Sijil Program ‘Skills For Life’ di Dewan Balau, Persatuan Melanau Miri di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, Datuk Sebastian menegaskan, kerjasama setiap pihak seperti yang ditunjukkan oleh IKBN Miri dan Persatuan Melanau Miri dalam penganjuran program tersebut amat diperlukan untuk membantu rakyat menjalani kehidupan harian.

Sementara itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau memberitahu, peningkatan kos sara hidup termasuk harga barang akan menjadi cabaran terbesar terutamanya untuk golongan belia pada tahun ini dengan kadar inflasi dilihat sebagai penyumbang utama kepada isu berkenaan.

“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Kementerian Ekonomi telah memperinci beberapa langkah penyelesaian pantas dalam menangani kos sara hidup termasuk pelan tindakan kerjasama rentas kementerian.

“Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) ditubuhkan sebagai platform untuk mengenal pasti isu dan cabaran kenaikan kos sara hidup dan membincangkan peranan pelbagai agensi dalam menangani isi tersebut,” ujarnya lagi.

Datuk Sebastian kemudiannya sempat hadir untuk mengumumkan sumbangan sebanyak RM5,000 kepada Biro Wanita Persatuan Melanau Miri.

Hadir sama Timbalan Pengarah Pengurusan Latihan IKBN Miri Andrew Arih, Timbalan Presiden Persatuan Melanau Miri Alexius Munan dan Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia Kementerian Belia dan Sukan Fadzillah Mohamed Kasim. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *