Hidupkan Semula Minat Terhadap Go-Kart

UKAS  > Edisi-Utara >  Hidupkan Semula Minat Terhadap Go-Kart
0 Comments

AHAD, 26 FEBRUARI 2023

MIRI: Pelaksanaan program berkaitan acara Go-Kart mampu menghidupkan semula minat dalam sukan tersebut, seterusnya mempromosikan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat tempatan.

Menurut Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, kawasan Miri khususnya yang mempunyai litar Go-Kart mampu dimanfaatkan untuk mempromosikan sukan tersebut kepada golongan belia di negeri ini.

“Miri merupakan satu-satunya lokasi yang mempunyai litar Go-Kart di seluruh Sarawak. Oleh itu, ia perlu dimanfaatkan dengan sebaik mungkin.

“Acara permotoran sebegini juga harus diperluaskan ke seluruh bahagian di Sarawak selain diadakan dengan skala lebih besar untuk menarik para peminat dari dalam mahupun luar negara seperti Kalimantan dan Singapura,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Sarawak Auto Karnival 2023 anjuran Permyjaya Motorsports Club Miri di Litar Go-Kart Permyjaya Miri pada Sabtu.

Sarawak Auto Karnival 2023 yang dianjurkan pada 25 hingga 26 Februari ini menyaksikan penyertaan seramai 240 peserta termasuk 16 kumpulan peserta dari negara Brunei Darussalam.

Ia bermatlamat untuk menggalakkan perkembangan aktiviti permotoran khususnya di Sarawak dan secara tidak langsung membantu menyatukan kelab-kelab permotoran supaya bergiat dalam aktiviti lebih sihat dan selamat.

Turut diadakan pameran kereta klasik dan berprestasi, perhimpunan kelab serta promosi jualan oleh pengeluar produk automotif.

Turut hadir Presiden Permyjaya Motorsports Club Miri Mohammad Yazit Subagyo dan Pengerusi Kelab Kenyalang Go-Kart Miri Larry Lian. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *