Projek Jambatan Batang Rajang, Jalan Pasi-Tanjung Manis Siap Penghujung 2024

UKAS  > Edisi-Tengah >  Projek Jambatan Batang Rajang, Jalan Pasi-Tanjung Manis Siap Penghujung 2024
0 Comments

AHAD, 26 FEBRUARI 2023

SARIKEI: Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah Dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh berpuas hati dengan perkembangan terkini projek Jambatan Batang Rajang, Jalan Pasi-Tanjong Manis, Sarikei.

Katanya, projek menelan kos sebanyak RM312 juta itu sudah mencapai 72 peratus siap meskipun lewat 3 peratus dari jadual sebenar ekoran penularan wabak Covid-19 dua tahun lalu.

Jelas beliau, projek itu kini berjalan lancar kerana tenaga kerja majoritinya adalah penduduk tempatan selain dipengaruhi bekalan bahan binaan yang mencukupi.

“Projek ini dimulakan pecah tanah oleh YAB Premier kita pada 2018 dan dijangka siap pada 2022, tahun lepas.

“Oleh kerana Covid, extension of time (EOT) melibatkan hampir dua tahun. Insyaallah projek ini akan siap dalam suku ketiga atau hampir penghujung tahun 2024,” katanya kepada media semasa mengadakan Lawatan Kerja ke Tapak Projek Jambatan Batang Rajang, Jalan Pasi-Tanjung Manis pada Sabtu.

Menurut beliau, pelan jangka panjang yang sedang diusahakan bagi wilayah tengah adalah menyambung Jalan dari Lebuhraya Pan Borneo ke Jalan Pasi mengikut spesikasi R5 empat lorong sepanjang 11 kilometer melalui JKR Bahagian Sarikei.

Jelasnya, semua prasarana ini dirancang dengan mengambil kira potensi setempat seperti pertanian, pelancongan yang mampu meningkatkan ekonomi meliputi Sarikei, Julau, Pakan dan Tanjong Manis.

“Dengan adanya infrastruktur pembangunan seperti ini, kita sangat teruja untuk melihat bagaimana prasarana seperti ini akan meningkatkan sosioekonomi terutama di kawasan pedalaman seperti Julau dan Pakan.

“Dengan penubuhan Rajang Delta Development Agency (RADDA), kita sudah mempunyai perancangan jangka panjang di mana kita telah mengenal pasti lebih 400 projek infrastruktur di bawah kendalian RADDA ini dari 2023 hingga 2030 dengan kos hampir RM17 bilion,” ujar beliau lagi.

Tambah ADUN Kuala Rajang itu, status serta perkembangan terkini projek ini amat penting dan perlu dihebahkan kerana rakyat mahu situasi sebenar pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Terdahulu, Datuk Len diberi taklimat status terkini projek yang disampaikan oleh wakil dari Jabatan Kerja Raya Bahagian Sarikei dan konsultan yang dilantik semasa lawatan kerja tersebut.

Hadir sama ADUN Meradong Datuk Ding Kuong Hiing, wakil Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Dato’ Sri Huang Tiong Sii Kapitan Ling Dien Yong,Residen Bahagian Sarikei Micheal Ronnie, Timbalan Residen Bahagian Sarikei Badjuri Bidin, Pegawai Daerah Sarikei Katherine Lalai, Pegawai Daerah Tanjung Manis Ismail Kasah dan Pemangku Pegawai Daerah Meradong Thomas Geoffrey Kendawang. – EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *