Kerajaan Sarawak Peruntuk RM6.7 Bilion Bantu PKS Menerusi BKSS 1.0 – 9.0

UKAS  > Edisi-Utara >  Kerajaan Sarawak Peruntuk RM6.7 Bilion Bantu PKS Menerusi BKSS 1.0 – 9.0
0 Comments

SABTU, 4 MAC 2023

MIRI: Kerajaan Sarawak telah menyalurkan sebanyak RM6.7 billion di bawah pakej Bantuan Khas SarawakKu Sayang (BKSS) 1.0 – 9.0 untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terkesan akibat wabak Covid-19.

Menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, bantuan secara one-off itu turut merangkumi peniaga kecil dan yang tidak mempunyai lesen.

“Ianya melibatkan hampir RM6.7 bilion termasuk untuk membantu para perusahan kecil dan sederhana.

“Termasuk yang tidak formal, peniaga-peniaga yang berniaga di tepi jalan dan yang tidak mempunyai lesen dan permit perniagaan,” katanya ketika berucap sempena Gala Dinner Kelab Usahawan Ikhtiar Miri di sini pada Jumaat.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri & Pelaburan Sarawak turut memperkenalkan program-program pembangunan usahawan di bawah kementeriannya.

Antaranya Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana (SPIKS), Skim Kredit Mikro Sarawak (SKMS), Graduan Ke Arah Keusahawanan (GERAK) dan Usahawan Teknikal Dan Vokasional dan Go Digital. 

“Saya berharap bantuan yang diberi dapat digunakan sebaik-baiknya dan saya yakin perniagaan kecil akan berkembang menjadi lebih besar,” ujar beliau lagi. 

Dalam majlis sama, beliau turut menyampaikan beberapa anugerah cemerlang antaranya Anugerah Sahabat Usahawan Emas (Sahabat yang Berusia), Anugerah Sahabat Usahawan Cemerlang (Sahabat Yang Setia dalam AIM) dan Anugerah Sahabat Usahawan Cemerlang Terbaik 2022. 

Turut hadir Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan merangkap ADUN Lambir Dr. Ripin Lamat, Pengarah Latihan Penyelidikan & Inovasi Amanah Ikthiar Malaysia Roslan Pakon, Timbalan Pengurus Wilayah Sarawak Amanah Ikthiar Malaysia Hasbi Naziri, Residen Bahagian Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf, Penghulu Samad Alip, Pengerusi Kelab Usahawan Ikthiar Miri Tuty Hartini Mohamad Hossin dan Lembaga Perwakilan Sahabat AIM Cawangan Miri Halimah Osman. – Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *