Budaya Silat Mampu Perkukuh, Eratkan Perpaduan Masyarakat

UKAS  > Edisi-Selatan >  Budaya Silat Mampu Perkukuh, Eratkan Perpaduan Masyarakat
0 Comments

ISNIN, 6 MAC 2023

KUCHING: Budaya silat semakin popular dalam kalangan generasi muda hari ini dan mampu menjadi landasan untuk mengukuhkan perpaduan masyarakat.

Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dr Ripin Lamat berkata sudah menjadi lumrah dalam setiap pertandingan pasti ada menang dan kalah.

Namun apa yang lebih penting tegas beliau ialah adanya jalinan persahabatan dan persaudaraan antara setiap persatuan silat.

“Selain pertandingan, ia juga menjadi platform bagi mendedahkan warisan seni mempertahankan diri kepada umum dan juga memanfaatkan pertumbuhan ekonomi dari segi kehadiran pelancong,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Perasmian Penutupan Kejohanan Silat Antarabangsa Premier Sarawak (SPISC) 2023 di Stadium Perpaduan Petra Jaya pada Ahad.

Justeru katanya, penglibatan para pesilat dari beberapa negeri dan negara dalam SPISC 2023 menandakan kejayaan serta kebolehan Rumpun Silat Sarawak (RSS) dalam menganjurkan kejohanan bertaraf antarabangsa.

Ujar beliau lagi, kementeriannya sentiasa memberi sokongan penuh dalam penganjuran acara seperti itu dan berharap ianya akan dapat dianjurkan lagi pada masa akan datang.

Untuk rekod, kontinjen Malaysia muncul juara keseluruhan SPISC 2023 untuk membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah USD20,000.

Sarawak selaku tuan rumah pula muncul naib juara untuk memenangi wang tunai USD4,000 manakala tempat ketiga disandang Singapura untuk meraih USD2,000.

Hadir sama Presiden Rumpun Silat Sarawak (RSS) Haneef Ali dan Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datuk Missnu Taha. – EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *