Capaian Internet Lemah Isu Kritikal Di Kawasan Pesisir Pantai Batang Sadong

UKAS  > Edisi-Utama >  Capaian Internet Lemah Isu Kritikal Di Kawasan Pesisir Pantai Batang Sadong
0 Comments

ISNIN, 6 MAC 2023

KUALA LUMPUR: Akses kepada internet menjadi keperluan asas dalam kehidupan masa kini dan sememangnya penting bagi memastikan rakyat tidak ketinggalan daripada program ekonomi digital.

Prihatin dengan keperluan di luar bandar Sarawak, Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee tidak terlepas membangkitkan isu kritikal berkenaan capaian internet lemah di kawasan pesisir pantai Batang Sadong melalui perbahasannya di Dewan Rakyat pada Isnin.

“Saya memohon pihak Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) untuk menyediakan peruntukan belanjawan yang lebih tinggi bagi pelaksanaan program Jalinan Digital Negara (JENDELA) dalam fasa seterusnya di Sarawak termasuk pembinaan lebih banyak menara-menara baru bagi kawasan yang masih kurang atau tiada liputan ‘mobile broadband 4G’,”katanya semasa membahas Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2023.

Dalam perbahasan sama, beliau turut menyatakan harapannya agar pihak KKD dapat menyegerakan pelaksanaan projek fiber optik ‘Point of Presence’ (PoP) bagi meliputi semua sekolah di kawasan Parlimen Batang Sadong.

Untuk makluman, JENDELA merupakan platform untuk mempercepatkan kesalinghubungan digital negara melalui pelaksanaan meluas capaian jalur lebar mudah alih, gentian optik dan tetap sementara membuka jalan kepada 5G di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Manakala, PoP pula merujuk kepada titik akses, lokasi atau kemudahan yang menghubung dan membantu peranti lain mewujudkan sambungan dengan internet. -Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *