Projek Bina Baru Rumah Saba Siap Sepenuhnya

UKAS  > Edisi-Tengah >  Projek Bina Baru Rumah Saba Siap Sepenuhnya
0 Comments

SELASA, 7 MAC 2023

SARIKEI: Penantian penduduk Rumah Grace Nanie Stephen yang dahulunya dikenali dengan nama Rumah Saba berakhir dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran apabila projek bina baru rumah panjang tersebut telah siap sepenuhnya.

Meskipun pemasangan bekalan elektrik dan air belum dilakukan namun penduduk rumah panjang 11 pintu sebulat suara mahu berpindah segera untuk mendiaminya mengikut adat tradisional menjelang sambutan perayaan Gawai yang akan datang.

Untuk rekod, Rumah Saba dengan 17 pintu telah terlibat dalam kebakaran pada tahun 2017 dan sejak itu kebanyakan mereka tinggal di rumah sementara di kebun masing-masing.

Meskipun terpaksa melalui proses yang lama terutamanya membabitkan isu lokasi rumah baru, pertukaran tuai rumah dan penularan pandemik COVID-19, penduduk tetap sabar dan yakin dengan Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah Dan Alam Sekitar Sarawak yang juga ADUN Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh dalam usaha menyalurkan peruntukan serta menyiapkan rumah mereka.

Projek bina baru rumah 11 pintu ini menelan kos keseluruhan RM770,000 atau setiap pintu bernilai RM70,000 dan 200 meter dari lokasi asal rumah mereka dahulu telah bermula pada 20 Oktober 2021 dan siap pada 19 Oktober 2022.

Datuk Len pada Jumaat telah melawat serta meninjau rumah tersebut dan amat gembira projek yang disalurkan melalui Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) DUN Kuala Rajang telah siap.

Simbolik penyerahan projek telah dilakukan oleh kontraktor Syarikat Elektrik Terash Jaya Sdn Bhd kepada Tuai Rumah Grace Nanie Stephen bersama pemilik rumah yang disaksikan Penolong Jurutera Awam JKR Sarikei Siti Anatasha Saili dan Wakil Pusat Khidmat N.41 Kuala Rajang Baijuri Jauji. – EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *