Agrobank Cawangan Betong Buka Kaunter Pendaftaran Akaun Bank Di Debak

UKAS  > Edisi-Tengah >  Agrobank Cawangan Betong Buka Kaunter Pendaftaran Akaun Bank Di Debak
0 Comments

RABU, 8 MAC 2023

DEBAK: Agrobank Cawangan Betong tampil dengan inisiatif menyediakan perkhidmatan kaunter pendaftaran akaun bank simpanan dengan caj yang dikenakan serendah RM20 sahaja.

Tujuan program ini dilancarkan adalah untuk membantu penduduk di luar bandar terutamanya anak sekolah yang bakal melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi yang memerlukan akaun bank simpanan bagi memudahkan pengurusan pembiayaan pendidikan.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak Dan Kesejahteraan Komuniti merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas Mohammad Razi Sitam ketika dihubungi mencadangkan satu kiosk ATM diwujudkan di Daerah Kecil Debak bagi memberi kemudahan kepada penduduk setempat,

“Kita mengalu-alukan agar mana-mana cawangan bank yang ingin membuka kiosk atau mesin ATM di daerah Debak ini sebagaimana yang telah kita mohon pada beberapa tahun lepas.

“Kemudahan ATM amat diperlukan untuk masyarakat sekitar daerah Debak bagi membantu mereka membuat urusan pengeluaran dan memasukkan wang.

“Saya memohon agar pihak bank jangan hanya mementingkan keuntungan yang besar baru membuka kemudahan bank di luar bandar seperti di Debak.

“Oleh sebab itu saya amat mengharapkan permohonan saya ini dipertimbangkan pihak bank seperti BSN, Agrobank atau Bank Rakyat agar dapat memberi khidmat bakti kepada penduduk yang tinggal di daerah Debak,” katanya.

Pada masa sama, Mohammad Razi juga mempelawa jika terdapat bank komersil lain yang sudi membuka kemudahan mesin ATM di Debak.

Terdahulu Mohammad Razi pernah mengajukan permohonan kepada bank BSN, Agrobank, Bank Rakyat dan juga bank komersil yang lain agar dibangunkan satu mesin ATM di Daerah Debak.

Ini adalah disebabkan jarak dari Debak ke Pasar Betong agar jauh dan menelan kos perbelanjaan yang agak tinggi khususnya kepada penduduk di luar bandar.

Turut hadir ke program tersebut ialah barisan Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat (KMKK) Debak serta penduduk kampung. – EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *