Nectar Consortium, Craun Research Meterai MoU Kerjasama Bangunkan Industri Nipah & Sagu

UKAS  > Uncategorized >  Nectar Consortium, Craun Research Meterai MoU Kerjasama Bangunkan Industri Nipah & Sagu
0 Comments

KHAMIS, 9 MAC 2023

KUCHING: Hubungan kerjasama antara Nectar Consortium Sdn Bhd dan Craun Research Sdn Bhd dalam pembangunan industri nipah dan sagu diperkukuh dengan termeterainya memorandum persefahaman (MOU) di sini pada Rabu.

Kerjasama itu bertujuan untuk memacu ke arah pembangunan industri kedua-dua komoditi bagi memperkasakan ekonomi masyarakat luar bandar dan bandar seiring dengan model ekonomi baharu kerajaan dalam membangunkan Sarawak sebagai negeri berpendapatan tinggi.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Craun Research Sdn Bhd Zaidell Hussaini, kebanyakan petani dan pengusaha nipah pada masa kini masih terperangkap dengan kaedah tradisional.

Sehubungan itu ujarnya, dengan menggunakan teknologi moden dan penglibatan pihak swasta serta koperasi, lebih ramai pengusaha komersial dapat dilahirkan sekaligus memperkasa industri nipah dan sagu termasuk mengemaskini keseluruhan rantaian nilai.

Jelas beliau, antara bidang kerjasama dalam pembangunan industri nipah dan sagu adalah bertukar-tukar pengetahuan dan kepakaran berhubung amalan terbaik membangunkan perusahaan huluan dan hiliran termasuk membangunkan kapasiti pengeluaran gula apong bagi memenuhi pasaran domestik dan antarabangsa.

Sementara itu, Pengarah Urusan Nectar Consortium Sdn Bhd Ahmad Tarmizi Mukhtar memberitahu, matlamat kerjasama ini adalah untuk meneroka peluang perniagaan dan pasaran baru bagi menjadikan nipah sebahagian daripada perolehan hasil utama pertanian seperti kelapa sawit, getah, dan industri lada hitam yang akan meningkatkan taraf hidup masyarakat.-Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *