Pembinaan Kompleks Pentadbiran Lawas Dijangka Siap November 2024

UKAS  > Edisi-Utara >  Pembinaan Kompleks Pentadbiran Lawas Dijangka Siap November 2024
0 Comments

JUMAAT, 10 MAC 2023

LAWAS: Pembinaan bangunan Kompleks Pentadbiran Lawas yang tertangguh disebabkan wabak COVID-19 diteruskan semula dan dijangka siap November tahun depan.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan memberitahu, projek pembinaan bangunan 15 tingkat tersebut yang sepatutnya siap pada hujung tahun lepas hanya mencapai tahap 19.52 peratus siap pada ketika ini.

Beliau memaklumkan, selain tertangguh disebabkan COVID-19, pihak kontraktor juga mengalami masalah dari segi tenaga kerja untuk pembinaan bangunan berkenaan.

“Jadi kita telah pun berbincang bagaimana kontraktor ini dapat mengawalkan kerja-kerja penyiapan projek ini dan pihak kontraktor telah mengemukakan perancangan mereka yang mana salah satu daripadanya ialah  untuk memanjangkan masa untuk bekerja dan ini bergantung kepada kelulusan yang dipohon mereka untuk mendapatkan tenaga kerja daripada luar,”katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan ke tapak projek tersebut bersama Timbalan Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan Sarawak (Pembangunan Infrastruktur) Aidel Lariwoo pada Khamis.

Sehubungan itu, Datuk Amar Awang Tengah yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari menyeru masyarakat di sekitar Lawas yang mempunyai kemahiran dalam kerja-kerja pembinaan untuk merebut peluang untuk bekerja di situ.

“Saya juga menyeru kepada masyarakat kita lebih-lebih lagi yang ada di sekitar Lawas ini yang mereka ada kemahiran-kemahiran tertentu, inilah peluang untuk kita bekerja.

“Kalau mereka berminat, mempunyai kemahiran dan sekiranya tidak mempunyai pekerjaan, inilah peluang mereka. Jadi tidaklah kita bergantung sepenuhnya kepada pekerja asing,”ujarnya lagi.

Beliau juga memberitahu, pihak kontraktor sudahpun menyediakan bahan pembinaan dan berharap projek itu dapat siap seperti yang dijadualkan.

Beliau menambah, dengan siapnya komplek yang menelan kos lebih RM180 juta itu, ia akan menempatkan beberapa jabatan yang ada di Lawas dan meningkatkan lagi perkhidmatan kepada masyarakat.

Justeru beliau meminta supaya kontraktor bersama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi memastikan projek ini berjalan dengan lancar mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Untuk rekod, skop kerja projek ini adalah meliputi pembinaan infrastruktur dan utiliti di dalam tapak projek seperti jalan masuk, perpaipan, telekomunikasi, kabel elektrik, blok bangunan pejabat 15 tingkat, parkir kereta, senibina, struktur, sistem mekanikal dan elektrikal, reka bentuk dalaman dan lain-lain.

Turut hadir ialah Residen Bahagian Limbang Yunus Tambi, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Awangku Zainal Abidin Dato Pengiran Jawa, Pengarah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) Dato Ubaidillah Abdul Latip, Jurutera Bahagian Limbang Mahathir Jokeni, dan Penolong Jurutera Bahagian Limbang Awangku Fakrulnizam Awangku Maddni.-Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *