Generasi Muda Perlu Fahami, Kuasai Sejarah Sarawak

UKAS  > Edisi-Tengah >  Generasi Muda Perlu Fahami, Kuasai Sejarah Sarawak
0 Comments

SABTU, 11 MAC 2023

SIBU: Setiap rakyat Sarawak harus memahami sejarah negeri ini sebelum mengetahui asal usul diri mereka, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek Joseph Chieng Jin Ek.

Tegas beliau, rakyat negeri ini terutamanya generasi muda harus melindungi dan mempertahankan hak dan kepentingan rakyat Sarawak.

“Ini merujuk terutamanya generasi muda, pemimpin masa depan kita. Mereka perlu memahami dan menguasai sejarah Sarawak bagi memastikan Sarawak akan berjalan dengan baik pada masa hadapan. Inilah yang diharapkan oleh rakyat di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa kempen amal Sibu Life Society untuk mengumpul dana dengan membuat tayangan perdana filem Hollywood mengenai Sir James Brooke, Rajah putih Sarawak pertama di King’s Trioplex di sini pada Khamis.

Mengenai filem itu, Chieng berkata ‘Rajah’ ialah filem bersejarah mengenai Sarawak dengan penggambaran dilakukan di negeri ini.

“Melalui filem itu, pemandangan indah, kemanusiaan, dan budaya Sarawak dapat dibawa ke dunia iaitu Hollywood,” katanya.

Sementara itu, Ketua Masyarakat Cina Sibu, Temenggong Datuk Vincent Lau berkata sejak penubuhannya 38 tahun lalu, Sibu Life Society telah bekerjasama dengan dasar kebajikan sosial kerajaan dan menggabungkan sumber sosial untuk membuat sumbangan yang paling berkesan.

Beliau menegaskan persatuan itu bertujuan untuk meningkatkan kesejahteraan penduduk dan menggalakkan tindakan kebajikan sosial, dan berazam untuk menyumbang kepada tanggungjawab sosial.

“Untuk tabung amal ini, wang yang dikumpul oleh persatuan melalui Tayangan Pengumpulan Dana Amal akan digunakan untuk pembesaran bangunan persatuan dan untuk menyokong pembiayaan ambulansnya.

“Pada masa sama, sebahagian daripada wang yang dikumpul juga akan digunakan untuk menyokong Destiny for Children, rumah kanak-kanak yang kini disewa persatuan. Destiny for Children adalah program membantu kanak-kanak tanpa kerakyatan,” katanya. – EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *