SABTU, 11 MAC 2023

KUCHING: Cadangan meroboh dan membina semula Masjid Ikhwanul Islam Taman Sukma yang lama tertakluk kepada kelulusan kerajaan Sarawak.

Demikian jelas Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof yang menambah cadangan itu termasuk membina madrasah, tempat penginapan untuk imam, ustaz dan penceramah jemputan serta hostel pelajar tahfiz. 

“Kita memang bercadang untuk roboh dan bina semula yang akan merangkumi sebahagiannya untuk kita buat kedai pada tingkat bawah. 

“Di sini juga kita mahu ia dijadikan pusat pengajian, aktiviti dan sebagainya agar kita dapat berhubung dengan jaringan-jaringan bukan sahaja di Sarawak tetapi dari Indonesia juga.

“Ia bertujuan untuk bagiamana kita hendak menjalinkan hubungan bersama agar kita dapat melahirkan pusat ilmu dan pusat pemahaman Islam,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan bangunan baharu Masjid Ikhwanul Islam Taman Sukma di sini pada malam Jumaat. 

Ketika ditanya media adakah pusat pengajian Islam akan mengekalkan pelajar-pelajar tahfiz di sana, beliau yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya  berkata, ia akan diteruskan. 

“Sebahagian akan diteruskan. Kita akan bina dengan sebaik mungkin,” ujarnya. 

Tambahnya, perkara itu masih lagi dalam perancangan serta menunggu kelulusan bagi membina Pusat Pengajian Islam itu.

Bangunan baharu Masiid Ikhwanul Islam Taman Sukma dibina dengan kos RM17 juta dan mampu menampung seramai 3,000 jemaah pada satu-satu masa.

Pembinaan bangunan baharu Masjid Ikhwanul Islam Taman Sukma berjaya dilaksanakan dengan sumbangan dana kerajaan Sarawak sebanyak RM8 juta, dana kerajaan Persekutuan sebanyak RM5 juta dan bakinya dari wakaf serta sumbangan orang ramai.

Untuk rekod, pada 4 Mac lepas, Masjid Ikhwanul Islam Taman Sukma mula digunakan dengan jemaah menunaikan solat Maghrib dan Isyak bersama Dato Sri Fadillah Yusof dan Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Udang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha, Pengarah Jabatan Agama Islam Khalidi Ibrahim, Imam Besar Negeri Sarawak Shahibul Fadilah Dato Mustapha Kamal Ahmad dan Pengerusi Masjid Ikhawanul Islam Taman Sukma Ibrahim Nordin.-EDISI UKAS

add comment