Tambah Kemudahan Di Pasar Tamu Lawas Fasa 2

UKAS  > Edisi-Utara >  Tambah Kemudahan Di Pasar Tamu Lawas Fasa 2
0 Comments

SABTU, 11 MAC 2023

LAWAS: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan memohon agar kemudahan-kemudahan di Pasar Tamu Lawas fasa dua ditambah. 

Menurut beliau, kemudahan yang paling utama adalah tandas, tempat mencuci dan kemudahan elektrik yang setakat ini hanya disediakan di bangunan fasa satu sahaja. 

“Saya telah meminta untuk menambah sedikit kemudahan-kemudahan terutama sekali tandas yang kini hanya ada di fasa yang pertama. 

“Selain tandas, tempat untuk mencuci dan kemudahan elektrik juga perlu disediakan,” ujarnya semasa membuat lawatan ke tapak projek Pasar Tamu Lawas fasa dua pada Jumaat. 

Dalam pada itu, beliau amat berpuas hati dengan pembinaan projek yang menelan kos sebanyak RM15,771,642.90 dan dijangka siap pada 26 April 2024 sambil berpendapat lokasinya sangat strategik. 

“Saya lihat bangunan ini cantik dan juga dilengkapi dengan kemudahan lif. 

“Tempat ini begitu strategik kerana dikelilingi kemudahan seperti jambatan dan melalui lebuhraya pantai utara,” tambah beliau. 

Justeru, Datuk Amar Awang Tengah yang juga ADUN Bukit Sari berharap agar kemudahan yang disediakan ini mampu membantu peniaga-peniaga untuk mempertingkatkan perniagaan mereka. 

“Gunakanlah peluang ini kerana bilangan pelawat semakin bertambah, maka bekerjalah dengan bersungguh-sungguh, tingkatkan kualiti produk dan kemahiran kita,” katanya lagi.

Beliau turut berharap peniaga dapat menjaga kebersihan kerana persekitaran yang bersih dapat menarik minat pelanggan untuk kembali. -Edisi UKAS.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *