Sinar Baru Kepada 11 Keluarga Di Kampung Igan

UKAS  > Edisi-Tengah >  Sinar Baru Kepada 11 Keluarga Di Kampung Igan
0 Comments

AHAD, 12 MAC 2023

IGAN: Impian untuk memiliki kediaman sendiri yang selesa menjadi kenyataan buat 11 keluarga B40 di Kampung Igan di sini.

Ia selepas permohonan mereka untuk mendapatkan Rumah Spektra Permata (RSP) di bawah Skim Pembesaran Kampung (SPK) telah diluluskan dan bersedia untuk berpindah ke rumah tersebut.

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti Dan Ombudsman) Dato’ Murshid Diraja Dr Juanda Jaya, mereka yang diluluskan permohonan itu adalah dari 20 penduduk yang memohon RSP tersebut.

“Alhamdullillah majlis pada pagi ini penyerahan kunci kepada 11 daripada 20 penduduk yang ditawarkan projek Rumah Spektra Permata Skim Pembesaran Kampung Igan.

“Mereka yang menerima kunci hari ini adalah yang telah selesai urusan kewangan bersama dengan Mutiara Mortgage dan selesai pelbagai urusan-urusan berkaitan.

“Setelah agak mengambil masa mereka menunggu untuk menerima kunci, mereka bole berpindah menjelang Ramadan, jadi bolehlah mereka meraikan Hari Raya di rumah baru,” katanya kepada media semasa majlis Penyerahan Kunci Rumah Spektra Permata Kampung Igan pada Sabtu.

Terdahulu semasa berucap, Dr Juanda yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng berharap pihak Mutiara Mortgage & HDC dapat mengkaji dan melihat bagaimana untuk memastikan kos perumahan di Sarawak dapat diturunkan lagi.

Ujarnya, agensi-agensi Kerajaan yang berkenaan juga diseru bersama-sama mencari jalan bagaimana untuk memastikan kos bagi projek perumahan di Sarawak dapat diturunkan lagi agar lebih ramai rakyat khususnya golongan muda yang baru membina keluarga mampu memiliki rumah masing-masing.

Sementara itu, kegembiraan jelas terpancar di wajah salah seorang penerima Hashim Ismail selepas menerima kunci rumah barunya.

Beliau juga merakamkan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana merealisasikan impiannya untuk memiliki rumah baru.

Seorang lagi penerima Nur Batrisyia Amani Abdullah turut bersyukur setelah penantian untuk memiliki rumah sendiri menjadi kenyataan.

Pembinaan rumah tersebut bermula pada Oktober 2020 dan siap sepenuhnya pada April 2022. 

Harga rumah RSP ini adalah RM160,000 seunit dengan tempoh pembiayaan di antara 25 hingga 35 tahun melalui Mutiara Mortgage & Credit Sdn Bhd anak Syarikat Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) dengan kadar keuntungan serendah 1 peratus. 

Terdahulu, Dr Juanda menyempurnakan Perasmian pembukaan Pesta Kaul Igan bertempat di Tapak Kaul Igan yang berlangsung sehingga Ahad.

Pesta Kaul Igan yang julung kalinya diadakan di Tapak Kaul Igan lengkap dengan kemudahan jalanraya, pentas, tempat parkir dan menara tinjau di bawah Projek Kerajaan Sarawak yang telah siap sepenuhnya tahun lalu.

Simbolik perasmian disempurnakan oleh Dr Juanda dengan melempar pancing sekaligus sebagai tanda bermulanya pertandingan memancing.

Antara aktiviti lain yang diadakan pada sebelah pagi adalah acara senamtari, pertandingan membina istana pasir serta pemeriksaan kesihatan percuma.

Peniaga turut membuka gerai jualan seawal pagi untuk kemudahan pengunjung membeli juadah serta barangan yang lain.

Terdapat juga kaunter agensi dibuka seperti kaunter Majlis Daerah Matu Dan Daro (MDMD) yang bersedia untuk menerima sebarang pertanyaan seperti berkaitan cukai rumah dan bantuan perumahan.

Manakala pada sebelah malam diadakan pertandingan Karaoke Kaul Igan di Astaka Kampung Igan.

Pada sebelah petang pula, Dr Juanda menyempurnakan Penanaman Pokok Bucida di Tapak Kaul Igan.

Sebanyak 40 pohon anak pokok Bucida atau pokok doa ditanam di sekitar Tapak Kaul Igan bertujuan mengindahkan lagi suasana di Tapak Kaul ini di samping sebagai benteng hakisan Tanah.

Penduduk Kampung Igan amat berterima kasih kepada pihak penganjur ini inisiatif ini secara tidak langsung akan menarik pengunjung ke Tapak Kaul Igan untuk menikmati keindahan pantai sekaligus membantu aktiviti ekonomi mereka.

Selesai program itu, Dr Juanda berkesempatan menyampaikan hadiah bagi pertandingan yang telah diadakan pada sebelah pagi. – EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *