Kejohanan Taekwondo Serlahkan Bakat Muda Ke Peringkat Lebih Tinggi

UKAS  > Edisi-Utara >  Kejohanan Taekwondo Serlahkan Bakat Muda Ke Peringkat Lebih Tinggi
0 Comments

ISNIN, 13 MAC 2023

BINTULU: Sarawak-SSC State Taekwondo (W.T.F) Championship 2023 menjadi platform untuk mencungkil bakat anak muda dalam sukan taekwondo.

Menurut Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Dato Majang Renggi, penganjuran kejohanan kali ini adalah untuk mencari atlet atau bakat baharu untuk mewakili Sarawak di Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 nanti.

Dalam pada itu, beliau menzahirkan perasaan gembira atas sambutan memberangsangkan bukan sahaja dari segi penyertaan malahan juga orang awam yang hadir memberi sokongan.

“Saya percaya kehadiran tuan-tuan dan puan-puan dalam jumlah yang agak ramai terdiri dari kalangan orang dewasa dan dan juga golongan muda.

“Anda semua berkunjung ke sini bukan sahaja disebabkan minat terhadap sukan seni bela diri malah untuk memberi sokongan padu ke arah pembangunan sukan khususnya sukan taekwondo di daerah Bintulu,” katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Sarawak-SSC State Taekwondo (W.T.F) Championship 2023 bertempat di Stadium Muhibah, Bintulu pada Ahad.

Untuk rekod, acara itu diadakan bermula pada 10 hingga 12 Mac 2023 dengan jumlah penyertaan seramai 577 atlet dan juga 150 jurulatih beserta urus setia.

Dalam acara tersebut, tempat pertama dimenangi oleh Zara Nur dari Kelab Taekwondo KTSDC dan tempat kedua disandang oleh Dini Amalia dari Kelab Taekwondo SMART.

Manakala, tempat ketiga dirangkul oleh Jessie Vannessa juga dari Kelab Taekwondo SMART dan tempat keempat dirangkul Dione Chen dari Kelab Taekwondo PINTAR.

Masing-masing para pemenang membawa pulang medal dan sijil penyertaan.

Antara acara yang dipertandingkan ialah ‘SPARRING EVENT (Kyorugi) : Full Contact Knock-Out Sparring System’ dan ‘Super Cadet (9 – 11 tahub) Yellow Belt & Above bagi kategori Cadet (12 – 14 tahun), Junior (15 – 17 tahun) dan kategori Terbuka (16 tahun & keatas).

Hadir sama Pegawai Pembangunan Sukan MSN & Sarawak Sports Corporation (SSC) Mohamad Ikmal Afandi, Pegawai Pendidikan Daerah Bahagian Bintulu Yusup Harbi, Pensyarah Kanan dan Penasihat Taekwondo Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Dr Wan Zabidi Wan Morni, Timbalan Pengarah Akademik Kolej Vokasional Bintulu Khalwani Che Abdul Hamid, Pengerusi Teknikal Persatuan Taekwondo Negeri Sarawak Grandmaster Tan Check Joon dan Pengerusi Kelab Taekwondo Smart Raja Zahari Raja Yusof. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *