SABERKAS Bekenu Rancang Anjurkan Cabaran Sukan Pantai Peliau Pada Skala Lebih Besar

UKAS  > Edisi-Utara >  SABERKAS Bekenu Rancang Anjurkan Cabaran Sukan Pantai Peliau Pada Skala Lebih Besar
0 Comments

ISNIN, 13 MAC 2023

MIRI : Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Cawangan Bekenu merancang untuk menganjurkan Cabaran Sukan Pantai Peliau pada skala lebih besar pada tahun depan untuk menarik ramai pelancong antarabangsa sekali gus mempromosikan pantai itu.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti merangkap Penasihat SABERKAS Cawangan Bekenu Datuk Rosey Yunus berkata, ia berikutan potensi acara sukan air itu untuk mempercepatkan pemulihan ekonomi masyarakat setempat selepas pendemik COVID-19.

“Selain itu, kita juga mempunyai Pasar Malam Peliau yang diadakan sebulan sekali bagi menarik minat pelancong ke pantai ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan pelancaran Cabaran Sukan Pantai Peliau 2023 di sini pada Ahad.

Turut hadir, Pegawai Daerah Subis Norlila Ulis dan Pengerusi SABERKAS Cawangan Bekenu Mahmud Sanai.

Pelbagai acara telah diadakan sepanjang dua hari penganjuran Cabaran Sukan Pantai Peliau 2023 yang bermula sejak Sabtu.

Antara acara yang dipertandingkan ialah lumba rakit buluh, perlumbaan bot pam kuasa, perlumbaan bot kayuh dan perlumbaan bot terowong.

Bagi acara bot pam kuasa, seramai 50 peserta telah mengambil bahagian termasuk dari Marudi, Limbang, Sebauh dan juga negara Brunei Darussalam.

Untuk rekod, Pantai Peliau terletak kira-kira 55 minit dari Bandaraya Miri melalui Jalan Pantai Miri. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *