NRMF Ketengahkan Budaya Seni Muzik Etnik Tempatan

UKAS  > Edisi-Utara >  NRMF Ketengahkan Budaya Seni Muzik Etnik Tempatan
0 Comments

ISNIN, 13 MAC 2023

LIMBANG: Penganjuran ‘Northern Region Music Festival’ (NRMF) dapat mengetengahkan budaya seni muzik etnik tempatan di daerah Limbang termasuk Melayu Brunei, Kedayan, Cina, Iban, Bisaya, Lun Bawang dan Penan.

Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail memberitahu, NRMF merupakan antara acara yang dilaksanakan untuk menarik pelancong ke sini selain mengeratkan silaturahim bersama dengan negeri lain serta negara jiran.

“Acara ini merupakan salah satu usaha kita untuk menarik pelancong ke Limbang dan saya percaya ramai rakan kita dari negara Brunei Darussalam dan negeri lain seperti Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan turut serta untuk menyaksikan program ini, sekali gus mengeratkan tali silaturahim serumpun.  

“Melalui program ini, saya percaya kita akan menghidupkan persembahan suku kaum yang ada di kawasan wilayah utara ini,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Perasmian NRMF 2023 di sini pada malam Sabtu.

Program itu dianjurkan oleh Jabatan Penyiaran Sarawak (RTM) Limbang dengan kerjasama Pejabat Residen Bahagian Limbang dan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak.

Antara pengisian yang mewarnai suasana sepanjang tiga hari penganjuran edisi ketiga NRMF ini ialah persembahan tarian dan muzik etnik tempatan serta persembahan daripada artis-artis jemputan termasuk Naqiu dan Amelina.

Sementara itu, Datuk Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota berkata, suasana kawasan tempatan akan terus meriah pada bulan-bulan berikutnya dengan penganjuran pelbagai acara termasuk Pesta Badudun dan Lumba Kerbau 2023, Pesta Nuba Laya, Karnival Belia dan juga Pesta Babulang.

Dalam pada itu, beliau berharap penganjuran acara seumpamanya akan turut memberikan impak positif kepada pihak lain termasuk usahawan tempatan serta pengusaha inap desa.

Hadir sama, isteri kepada Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Datin Dayang Maimunah Awang Muhammad Daud, Timbalan Ketua Polis Daerah Limbang, DSP Liong Tindan, Pengurus Stesen RTM Limbang selaku wakil Pengarah Penyiaran Sarawak, Amran Tut, wakil Residen Bahagian Limbang Aspalela Mohd Sahmoni dan wakil Pegawai Daerah Limbang Mohd Sobree Damit. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *