ADUN Jemoreng Mahu Dataran Kaul Igan Dijadikan Kawasan Peranginan

UKAS  > Edisi-Tengah >  ADUN Jemoreng Mahu Dataran Kaul Igan Dijadikan Kawasan Peranginan
0 Comments

SELASA, 14 MAC 2023

MUKAH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, Dato’ Murshid Diraja Dr Juanda Jaya berharap Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) meluluskan kawasan bersebelahan Dataran Kaul Igan untuk dijadikan kawasan peranginan.

Semasa menyuarakan permohonan itu ketika mesyuarat dengan pihak RADDA baru-baru ini, beliau berkata projek yang menelan kos kira-kira RM25 juta tersebut bertujuan menarik pengunjung luar datang ke Igan untuk menikmati keindahan kawasan pelancongan di situ apabila siap jalan pesisir nanti.

“Jambatan Igan akan siap tidak lama lagi, seberang Igan projek Jalan Kebuaw ke Telok Deloh dan terus ke Sibu sedang rancak dilaksanakan dan ianya nanti akan memberi kemudahan untuk rakyat dari luar bergerak ke kawasan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Penangguhan Pesta Kaul Igan di Tapak Kaul Igan di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti Dan Ombudsman) berkata projek Benteng Hakisan Pantai Kuala Matu Fasa 1 bernilai RM8.8 juta telah diserahkan. 

Katanya, Fasa 2 bernilai RM5 juta telah diluluskan dan akan dilaksanakan dalam tahun ini.

“Projek Fasa 2 itu nanti akan menambah kemudahan lain dan mencantikkan lagi pantai itu nanti.

“Melalui RADDA juga, saya memohon Fasa 3 dilaksanakan bernilai RM35 juta untuk menjadikan Pantai Kuala Matu kawasan Rehat Dan Rawat (R&R) Jalan Pesisir.

“Saya juga memohon daripada RADDA projek Masjid Baru Tian dan Dewan Komuniti bernilai RM30 juta,” tambah beliau lagi.

Terdahulu, Dr Juanda berkata Jalan Igan ke Sungai Ilas kini sudah diratakan dengan tembok pasir dan boleh dilalui, namun beliau mahu pihak kontraktor menyiapkan jalan itu menjelang Ogos ini.

Tambahnya, apabila ada pembangunan, penduduk perlu bersedia menerima perubahan.

Hadir sama Penolong Pegawai Daerah Matu Zaraina Sahari, Temenggung Bahagian Mukah Hendy Suhai, Pemanca Kaum Melanau Matu Rahmah Ras dan Penghulu Kampung Igan Kipli Laging.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *