Projek Naik Taraf Landskap Taman Awam Pending Siap Sepenuhnya

UKAS  > Edisi-Utama >  Projek Naik Taraf Landskap Taman Awam Pending Siap Sepenuhnya
0 Comments

SELASA, 14 MAC 2023

KUCHING: Projek menaik taraf landskap Taman Awam Pending di bawah Jabatan Landskap Negara yang bernilai hampir RM500,000 telah siap sepenuhnya.

Majlis penyerahan projek kepada Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) daripada pihak kontraktor telah diadakan di sini pada Selasa.

Sementara itu, Datuk Bandar MBKS Dato Wee Hong Seng berkata, prasarana itu merupakan sebuah taman besar dengan keluasan melebihi lima ekar yang merangkumi sebuah stadium tertutup dan arena sukan.

“Seperti yang kita boleh lihat, taman ini ialah sebuah taman yang besar dengan keluasan melebihi lima ekar dan anda boleh lihat juga terdapat sebuah stadium dan arena sukan di bahagian hadapan,” katanya. 

Tambah beliau, projek ini merupakan tahap yang pertama dan akan ada projek-projek lain menyusul untuk persiapan Bandaraya Kuching menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) pada tahun hadapan. 

“Kami akan terus melakukan kerja-kerja baikpulih stadium ini, terutama sekali untuk sukan bola keranjang yang akan dipertandingkan di dalam SUKMA dan bandar raya Kuching perlu bersedia untuk menjadi tuan rumah tahun hadapan,” tambahnya. 

Selain itu jelasnya, beberapa projek lain juga akan dijalankan bergantung dengan dana yang akan disalurkan termasuklah penambahan lampu untuk tujuan keselamatan pengunjung dan membolehkan taman ini menjadi prasarana yang baik. 

“Jadi saya berharap orang ramai boleh memanfaatkan taman ini dengan pelbagai aktiviti sihat dan tidak hanya terikat kepada aktiviti sukan sahaja,” katanya.-Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *