Inisiatif JENDELA Yang Sedang Dalam Peringkat Pelaksanaan Dijangka Siap Sepenuhnya Suku Keempat 2023

UKAS  > Edisi-Utama >  Inisiatif JENDELA Yang Sedang Dalam Peringkat Pelaksanaan Dijangka Siap Sepenuhnya Suku Keempat 2023
0 Comments

RABU, 15 MAC 2023

KUALA LUMPUR: Inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang sedang dalam peringkat pelaksanaan dijangka akan siap sepenuhnya pada suku keempat 2023.

Demikian menurut Menteri Komunikasi Dan Digital Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Betong Dr. Richard Rapu di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.

“Setakat suku keempat 2022, sebanyak 90,840 premis telah siap disediakan dengan sambungan gentian optik bagi jalur lebar talian tetap, manakala baki sebanyak 24,447 lagi dalam peringkat pelaksanaan daripada jumlah 115,287 yang dirancang.

“Selain itu, sebanyak 3,546 alat pemancar komunikasi telah siap dinaik taraf kepada teknologi 4G, manakala baki sebanyak 43 lagi dalam peringkat pelaksanaan daripada 3,589 yang dirancang.

“Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) juga telah menyiapkan 158 menara baharu dan dalam proses menyiapkan baki 684 menara daripada sejumlah 842 menara yang dirancang,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, kementeriannya juga telah mempercepatkan penyediaan perkhidmatan jalur lebar melalui teknologi satelit di 523 lokasi di kawasan pedalaman di Wilayah Sarawak yang pada asalnya dirancang untuk dilaksanakan pada tahun 2023 di dalam JENDELA Fasa 2 yang berjaya disiapkan sepenuhnya di dalam JENDELA Fasa 1 pada tahun 2022.

Ujar Ahmad Fahmi lagi, bagi pelaksanaan penyediaan infrastruktur jalur lebar menggunakan kaedah Point of Presence (PoP) hab gentian optik di Sarawak, fasa 1 telah berjaya disempurnakan dengan penyediaan premis sebanyak 6,407.

Beliau menambah, dari jumlah tersebut 1,812 telah dilanggan oleh penduduk sekitarnya.

“Pelaksanaan PoP secara keseluruhan di Sarawak adalah sebanyak 741 kawasan berhampiran sekolah dan daripada jumlah tersebut pula sebanyak 60 kawasan berhampiran sekolah luar bandar pada Fasa 1 dan bagi Fasa 2 pula ia akan merangkumi sebanyak 681 PoP,”katanya lagi.-Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *