Pelan Induk, Peta Hazard Akan Dimohon Sebelum Laksana Projek Tebatan Banjir Di Parlimen Baram

UKAS  > Edisi-Utama >  Pelan Induk, Peta Hazard Akan Dimohon Sebelum Laksana Projek Tebatan Banjir Di Parlimen Baram
0 Comments

RABU, 15 MAC 2023

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim akan membuat permohonan di bawah Rolling Plan 4 (RP4) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) bagi Pelan Induk dan Peta Hazard.

Menterinya Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ia adalah bagi mendapatkan gambaran serta cadangan pelaksanaan projek tebatan banjir di Parlimen Baram.

“Pelan itu dilaksanakan disebabkan keluasan kawasan lembangan Batang Baram yang  besar iaitu 17,813 kilometer persegi.

“Pelan ini akan membangunkan cadangan penyelesaian secara holistik bagi memastikan peruntukan  yang akan diperolehi bagi pelaksanaan Projek Tebatan Banjir di Parlimen Baram dapat digunakan secara optima,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Baram Dato Anyi Ngau di Dewan Rakyat di sini pada Selasa.

Nik Nazmi juga memaklumkan, Kementeriannya melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah melaksanakan beberapa  projek untuk menangani masalah banjir di kawasan Parlimen Baram yang berjumlah RM 6.57 juta.

“Projek itu ialah Pembinaan Retaining Wall Tebing di Sungai Baram, Sarawak  yang telah siap pada 26 November 2021 dengan kos berjumlah RM 6.29 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11).

“Selain itu, tiga sebutharga telah siap dilaksanakan pada tahun 2022 dalam Projek Pemuliharaan Sungai Untuk Mengurangkan  Risiko Banjir berjumlah RM280,000,”jelasnya lagi.-Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *