Sesi ‘Townhall’ Bersama Setiausaha Kerajaan Sarawak Sempena Persidangan Pegawai-Pegawai Daerah Perkhidmatan Awam Sarawak Tahun 2023

UKAS  > Edisi-Utama >  Sesi ‘Townhall’ Bersama Setiausaha Kerajaan Sarawak Sempena Persidangan Pegawai-Pegawai Daerah Perkhidmatan Awam Sarawak Tahun 2023
0 Comments

JUMAAT, 17 MAC 2023

SIBU: Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki mengadakan sesi ‘townhall’ dengan Pegawai-Pegawai Daerah dan Penolong-Penolong Pegawai Daerah dari seluruh negeri di sebuah hotel terkemuka di sini pada petang Jumaat.

Sesi ‘townhall’ ini merupakan salah satu acara yang diadakan sempena Persidangan Pegawai-Pegawai Daerah Perkhidmatan Awam Sarawak Tahun 2023.

Sementara itu, dalam amanat beliau, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar berkata, semua anggota perkhidmatan awam Sarawak mesti bekerja sebagai satu pasukan dalam memastikan perkhidmatan kerajaan negeri berjalan dengan lancar dan berkesan.

“Tidak kira apa pangkat, latar belakang atau bangsa, apa yang penting ialah semua harus sentiasa bekerjasama sesama diri seperti sebuah pasukan bola sepak.

“Anggota perkhidmatan awam Sarawak juga jangan takut kepada perubahan. Jadi, amat penting untuk mereka ‘Revisit’, ‘Rethink’ dan ‘Recharge’ untuk memastikan tugas dan proses kerja masih relevan dilaksanakan,” katanya.

Datuk Amar Mohamad Abu Bakar menambah, anggota perkhidmatan awam Sarawak juga harus faham mengenai inisiatif-inisiatif dan dasar-dasar yang dibawa oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.

Jelas beliau, ia adalah seperti Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030, penyimpanan karbon, ekonomi hijau, perubahan iklim, tenaga hidrogen dan sebagainya supaya mereka memanjangkan fakta tersebut kepada rakyat umum.

Dalam pada itu, Setiausaha Kerajaan Sarawak juga memaklumkan bahawa perkhidmatan awam Sarawak akan meningkatkan penggunaan sistem digital dalam proses kerja termasuk pengisian borang atas talian.

“Fasiliti dan kemudahan seperti pejabat, pencapaian internet dan kuaters kediaman juga akan dipertingkatkan untuk memberi suasana kerja yang lebih kondusif,” jelasnya lagi.

Turut hadir Timbalan-Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datu Dr. Muhammad Abdullah Zaidel (Perancang Ekonomi dan Pembangunan), Datu Buckland Bangik (Pentadbiran) dan Datu Hii Chang Kee (Operasi), Pengarah Unit Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia, Datu  Ismail Mohamad Hanis, Residen Bahagian Sibu Wong Heng Sieng dan Ketua-Ketua Jabatan. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *