Lebih Banyak Stesen Minyak Bersepadu PETROS Dengan Model Operasi DODO Akan Dibangun

UKAS  > Edisi-Tengah >  Lebih Banyak Stesen Minyak Bersepadu PETROS Dengan Model Operasi DODO Akan Dibangun
0 Comments

AHAD, 19 MAC 2023

DARO: Pembangunan stesen minyak bersepadu PETROS dengan model operasi berasaskan konsep milik dan kendalian peniaga atau ‘Dealer Owned, Dealer Operated’ (DODO) akan diteruskan di seluruh Sarawak.

Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Tan Sri Datuk Amar (Dr) Abdul Aziz Dato Husain memberitahu stesen seumpamanya dengan model operasi yang serupa akan dilancarkan di Pusa, Kapit, Miri dan Kuching pada tahun ini.

“Selain daripada tapak yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup untuk pembinaan stesen ‘Multifuel’ ini, SEDC Energy Sdn Bhd (SEDC Energy) secara berterusan telah menerima permohonan daripada usahawan tempatan untuk membuka stesen di bawah konsep DODO.

“Ini akan menawarkan peluang perniagaan baharu kepada usahawan tempatan untuk menyertai perniagaan minyak dan gas hiliran yang ditawarkan oleh syarikat minyak milik kerajaan serta untuk mencapai perkembangan perniagaan berterusan SEDC Energy,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran Stesen Minyak Bersepadu yang disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Pekan Daro pada Ahad.

Stesen tersebut merupakan stesen minyak bersepadu PETROS pertama yang beroperasi di bawah konsep DODO.  

Dalam pada itu, Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz menambah, selain produk petroleum dan tenaga baharu, semua stesen tersebut akan menyediakan ruang kepada usahawan tempatan untuk mempamerkan dan mempromosikan produk tempatan mereka dan meluaskan jangkauan mereka ke pasaran yang lebih luas.

“Beberapa stesen ‘Multifuel’ terpilih akan dilengkapi dengan mesin juruwang automatik (ATM) serta premis makanan dan minuman bagi menawarkan lebih banyak kemudahan kepada pelanggan,” katanya lagi.

Hadir sama, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar merangkap Pengerusi RADDA Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Dato’ Murshid Diraja Dr Juanda Jaya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro Safiee Ahmad, ADUN Tupong merangkap Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Fazzrudin Abdul Rahman, ADUN Tellian Royston Valentine, ADUN Balingian Abdul Yakub Arbi, Ahli Parlimen Tanjong Manis Ir Yusuf Abdul Wahab, Ahli Parlimen Igan Ahmad Johnie Zawawi, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Datu Dr Muhammad Abdullah Zaidel dan Residen Bahagian Mukah Kueh Lei Poh. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *