SUKMA 2024: Kerajaan Sarawak Rancang Tambah Empat Permainan

UKAS  > Edisi-Tengah >  SUKMA 2024: Kerajaan Sarawak Rancang Tambah Empat Permainan
0 Comments

AHAD, 19 MAC 2023

KUCHING: Kerajaan Sarawak merancang untuk menambah empat sukan baharu pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024. 

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, perancangan itu telah dibincangkan dalam Mesyuarat Khas Kementerian Belia dan Sukan Peringkat Persekutuan. 

“Mesyuarat telah bersetuju untuk memberi had kepada Sarawak untuk memilih empat acara tambahan, selain 28 sukan yang telah diutuskan oleh jawatankuasa terbabit.

“Untuk sukan SUKMA 2024, kita akan ada 32 sukan di mana tambahan yang diputuskan oleh Sarawak ialah acara Tinju, Muaythai, Petanque dan e-Sport,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Penyampaian Hadiah Kejohanan J300 (J1) Jelajah Tenis Dunia Piala Premier Sarawak Ke-38 di Sarawak Lawn Tennis Association (SLTA), Kuching pada Ahad.

Dalam pada itu, Dato Sri Abdul Karim berkata, beliau juga telah memaklumkan perkara tersebut kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg baru-baru ini. 

Sementara itu katanya, penganjuran SUKMA di Sarawak nanti wajar dilakukan di seluruh negeri. 

“Untuk sukan SUKMA ini jangan bertempat di Kuching sahaja, kita mahu lebih banyak rakyat Sarawak dapat manfaat baiknya. 

“Sekurang-kurangnya mereka yang tinggal di Miri, Sibu, Sri Aman, Betong dan sebagainya mempunyai platform untuk memberi sokongan kepada sukan ini,’’ ujarnya lagi. 

Mengulas lanjut, beliau berkata ia merupakan langkah terbaik buat negeri ini dalam meningkatkan sektor pelancongan sekaligus memberi impak besar kepada ekonomi Sarawak. 

Dalam pada itu, Kejohanan J300 (J1) Jelajah Tenis Dunia Piala Premier Sarawak Ke-38 melabuhkan tirai pada Ahad dengan Vlada Mincheva dari Australia dan Daria Gorska dari Poland merangkul juara kategori wanita manakala kategori lelaki dimenangi oleh Aryan Shah dan Yuvan Nandal dari India.

Hadir sama, Presiden SLTA, Dato Patrick Liew serta tetamu lain. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *