Daro Akan Sediakan Sumber Pendapatan Baharu

UKAS  > Edisi-Tengah, Edisi-Utama >  Daro Akan Sediakan Sumber Pendapatan Baharu
0 Comments

AHAD, 19 MAC 2023

DARO: Kawasan Daro bakal menyediakan sumber pendapatan baharu buat Sarawak pada masa depan.

Menurut Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, satu perancangan sedang dibuat, namun beliau hanya akan mengumumkan perkara tersebut setelah ia dipastikan pada masa depan.

“Ada perkara untuk dilakukan nanti, saya tidak mahu mengumumkan dahulu. Satu sumber kewangan yang datang dari kawasan ini.

“Bukan saya hendak menyembunyikannya, tetapi biarlah saya atur dengan betul dahulu dan akhirnya akan memberikan ekonomi baharu kepada negeri ini.

“Mungkin kawasan ini akan menjadi lebih kurang seperti negara Arab nanti, itulah bayangan yang saya berikan,” katanya ketika berucap melancarkan stesen minyak bersepadu PETROS di Pekan Daro pada Ahad.

Sementara itu, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari berkata, Kerajaan Sarawak memutuskan untuk membangunkan bangunan Pejabat Daerah baharu di situ bersempena dengan Jubli Emas Daerah Daro.

Jelasnya, bangunan tersebut akan dilengkapkan dengan pelbagai kemudahan termasuk perkhidmatan mesin juruwang automatik (ATM) dan juga kuarters pegawai.

“Kuarters ini akan kita lengkapkan seperti ‘apartment’. Jadi kuarters tersebut juga akan menyediakan pelbagai kemudahan seperti kemudahan senaman dan sebagainya,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Premier Sarawak menambah, konsep bangunan Pejabat Daerah itu juga akan diperluaskan ke kawasan lain pada masa depan.

Hadir sama, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar merangkap Pengerusi RADDA Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Dato’ Murshid Diraja Dr Juanda Jaya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro Safiee Ahmad, ADUN Tupong merangkap Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Fazzrudin Abdul Rahman, ADUN Tellian Royston Valentine, ADUN Balingian Abdul Yakub Arbi, Ahli Parlimen Tanjong Manis Ir Yusuf Abdul Wahab, Ahli Parlimen Igan Ahmad Johnie Zawawi, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Tan Sri Datuk Amar (Dr) Abdul Aziz Dato Husain, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Datu Dr Muhammad Abdullah Zaidel dan Residen Bahagian Mukah Kueh Lei Poh. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *