Beri Gambaran Tepat Berkaitan Suku Kaum Dalam Karya Seni

UKAS  > Edisi-Utara >  Beri Gambaran Tepat Berkaitan Suku Kaum Dalam Karya Seni
0 Comments

ISNIN, 20 MAC 2023

MIRI: Penggiat seni budaya suku kaum khususnya di Sarawak harus memastikan elemen tradisional suku kaum diterapkan dengan sebetulnya dalam karya masing-masing.

Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Snowdan Lawan berkata, gambaran tepat berkaitan elemen suku kaum harus diberikan agar orang ramai tidak salah tafsir budaya sedia ada.

“Sekiranya kita ingin membuat ukiran mahupun melaksanakan seni tarian berkaitan suku kaum, pastikan elemen suku kaum itu masih diterapkan. Tiada halangan untuk melaksanakannya secara ‘hibrid’, tapi jangan tersasar terlalu jauh daripada elemen asal.

“Ini terutamanya apabila kita membuat persembahan di luar negara. Orang luar negara tidak akan mengetahui bagaimana lagu Orang Ulu, Iban, Bidayuh dan sebagainya. Sekiranya kita menggunakan lagu jenis kontemporari, maka mereka akan menganggapnya sebagai lagu suku kaum kita.

“Jadi, kita kena berhati-hati,” katanya semasa Sesi Town Hall Bersama Penggiat Industri Kreatif Bahagian Miri di sini pada Sabtu.

Menyentuh berkenaan sesi town hall tersebut, Datuk Snowdan berkata kementeriannya berharap dapat menghasilkan satu direktori seperti ‘Yellow Pages’ yang menyenaraikan maklumat berkaitan penggiat industri kreatif di Sarawak.

“Dengan adanya direktori sedemikian, ia akan dapat menghubungkan semua yang terlibat dalam industri kreatif dan juga membolehkan industri yang berminat mengetahui apa yang ditawarkan oleh Sarawak,” katanya lagi.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan merangkap Pengerusi Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) Dennis Ngau dan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datu Sherrina Hussaini. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *