Pusat Dialisis PBSM Permyjaya Miri Kini Beroperasi Sepenuhnya

UKAS  > Edisi-Utara >  Pusat Dialisis PBSM Permyjaya Miri Kini Beroperasi Sepenuhnya
0 Comments

ISNIN, 20 MAC 2023

MIRI: Masyarakat Miri terutamanya golongan B40 yang memerlukan boleh mendapat manfaat daripada Pusat Dialisis Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Permyjaya Miri yang kini beroperasi sepenuhnya.

Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, pusat ini berjaya memperoleh lesen pengoperasian setelah mendapat kelulusan akhir daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Setelah memenuhi segala keperluan dan syarat daripada KKM, akhirnya Pusat Dialisis Permyjaya ini berjaya memulakan operasinya hari ini (20 Mac).

“Pusat ini merupakan sebuah pusat rawatan dialisis buah pinggang yang mempunyai kelengkapan dengan kesemua mesin hemodialisis diimport dari negara Jerman. Ia merupakan salah sebuah pusat dialisis yang terbaik di seluruh Sarawak.

“Pusat ini bukan sahaja dapat mengurangkan kesesakan malahan juga dapat menyokong serta melengkapkan pusat dialisis sedia ada di Jalan Bulan Sabit Merah, Miri dan Hospital Miri.

“Ia juga dijangka dapat menyediakan perkidmatan yang lebih selesa dari segi kelengkapan fasiliti, tempat parkir yang luas serta suasana kurang sesak khususnya untuk pesakit-pesakit rawatan buah pinggang di bahagian utara bandar raya ini iaitu Kuala Baram, Tudan, Senadin, Permyjaya dan Pujut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melawat ke pusat tersebut di sini pada pagi Isnin.

Dalam pada itu, Dato Sri Lee yang juga Ketua Pusat Dialisis Miri menzahirkan penghargaan kepada setiap pihak termasuk kerajaan Sarawak, badan korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan juga individu yang menyokong dan menyumbang kepada penubuhan pusat dialisis berkenaan.

“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih khasnya kepada kerajaan Sarawak yang menyumbangkan dana sejumlah RM2 juta dalam pembinaan struktur pusat dialisis, PETRONAS yang telah menyumbang peralatan mesin hemodialisis yang bernilai RM1 juta, Sarawak Shell Berhad (SSB) yang menyumbang ambulans bernilai RM200,000 dan juga badan korporat, NGO serta individu lain,” jelasnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin itu turut menyeru masyarakat Miri untuk terus menyokong dan membantu dalam pelbagai bentuk untuk menjamin pengoperasian pusat dialisis itu secara berterusan.

“Pusat ini tidak ditubuhkan untuk mendapat keuntungan. Oleh itu, bantuan berterusan daripada semua pihak amat diperlukan kerana hampir 90 peratus pesakit di pusat ini adalah daripada golongan B40 yang memerlukan bantuan khususnya dari segi pembayaran untuk rawatan buah pinggang,” ujarnya lagi.

Hadir sama, Pegawai Kesihatan Bahagian Miri Dr P. Raviwharmman Packierisamy, Pegawai Bertanggungjawab bagi Pusat Dialisis Permyjaya Miri Dr Mohd Arif Abdullah dan Pengurus Klinikal Pusat Dialisis Permyjaya Miri Penny Kalong. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *