MPOB Bekerjasama Bersama Universiti Tsinghua Di China Menjalankan Penyelidikan Penggunaan Biodiesel Sawit

UKAS  > Edisi-Utama >  MPOB Bekerjasama Bersama Universiti Tsinghua Di China Menjalankan Penyelidikan Penggunaan Biodiesel Sawit
0 Comments

SELASA, 21 MAC 2023

KUALA LUMPUR: Pihak Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) sedang bekerjasama bersama Universiti Tsinghua di China untuk menjalankan penyelidikan berkenaan kajian lapangan menggunakan biodiesel sawit dalam enjin kenderaan buatan China.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan Dan Komoditi, Dato’ Sri Fadillah Yusof berkata, ia termasuk kajian makmal dan kebolehlaksanaan penghasilan biojet sawit sebagai bahan api penerbangan mampan (SAF).

Selain itu katanya, pihak MPOB juga sedang mengadakan kerjasama bersama enam universiti tempatan berkenaan kajian percubaan enjin diesel dengan menggunakan adunan biodiesel B30.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan daripada Ahli Parlimen Tanjung Piai, Dato’ Sri Dr. Wee Jeck Seng pada sidang parlimen di Dewan Rakyat Untuk Mesyuarat Pertama, Penggal Kedua, Parlimen Ke-15 di Kuala Lumpur, pada Selasa.

Dato’ Sri Fadillah menambah, pelaksanaan penggunaan biodiesel sawit adalah langkah strategik kerajaan melalui Kementerian Perladangan dan Komoditi bagi menggalakkan penggunaan minyak sawit dalam negara serta bertujuan untuk mengukuhkan dan menstabilkan harga minyak sawit dalam jangka masa panjang.

“Penggunaan biodiesel sawit turut mampu menyumbang kepada kemampanan dan meningkatkan imej industri sawit negara dalam melaksanakan amalan-amalan yang mesra alam di samping mengurangkan penggunaan bahan api berasaskan fosil sekaligus dapat mengurangkan pelepasan gas rumah hijau,” katanya. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *