SELASA, 21 MAC 2023

KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menerima kunjungan hormat daripada Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) Dato’ Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz yang baharu di pejabat beliau, Wisma Bapa Malaysia di sini pada Selasa.

Dato’ Sri Wan Ahmad Dahlan memberitahu, kunjungan hormat berkenaan adalah bagi memperkenalkan dirinya yang telah melapor diri pada 20 Februari lepas.

Beliau berkata, antara yang dibincangkan ialah mengenai kerjasama pihaknya dan Kerajaan Sarawak dalam pelaksanaan projek- projek yang diberikan dengan nilai RM50 juta ke bawah.

“Dalam petemuan tersebut Premier Sarawak juga menyatakan beberapa perkara yang perlu diberi penumpuan oleh pihak Persekutuan terutamanya dalam membantu kerajaan Sarawak melaksanakan projek-projek yang diberikan dengan nilai RM50 juta ke bawah.

“Pihak kami akan berkerjasama memantau supaya projek itu tidak lewat dari jadual atau menjadi projek sakit.

“Ini amat penting kerana kejayaan sesuatu projek diselesaikan dalam tempoh yang ditetapkan akan memberi keselesaan dan juga memberi manfaat kepada rakyat,” katanya ketika ditemui media.

Dato’ Sri Wan Ahmad Dahlan juga menambah, turut dibincangkan ialah isu sempadan negara yang memerlukan kerjasama yang lebih erat agar pembangunan negara seiring dengan Nusantara kelak.

“Premier Sarawak juga membangkitkan berkaitan dnegan isu-isu supaya kerjasama yang lebih erat lagi dapat kita gemblengkan antara Persekutuan dan kerajaan Sarawak terutamanya di dalam melihat sempadan negara kita dengan pembinaan-pembinaan pos-pos kawalan dan juga berkaitan dengan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) supaya kita seiring dengan pembangunan Nusantara di Kalimantan,” jelasnya lagi.

Untuk rekod, Dato’ Sri Wan Ahmad Dahlan telah menggantikan jawatan yang sebelum ini disandang oleh Datuk Ruji Ubi.

Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri yang baharu itu sebelum ini merupakan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Hadir sama ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancang Ekonomi dan Pembangunan) Datu Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Timbalan Ketua Pengarah (Pemantauan dan Penilaian Pembangunan) Raja Muhammad Azhan Shah Raja Muhammad, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Strategik) Norashiken Ishak, Pengarah Pembangunan Negeri Sarawak Jasni Jubli, Pengarah Bahagian Susun Semula Masyarakat (BSSM) Zamrud Yahya dan Pegawai Khas Ketua Pengarah Syahriman Mat Salleh. -Edisi UKAS

add comment