Penduduk Di Debak Bersyukur, Projek Tebatan Banjir Dilaksanakan

UKAS  > Edisi-Tengah >  Penduduk Di Debak Bersyukur, Projek Tebatan Banjir Dilaksanakan
0 Comments

SELASA, 21 MAC 2023

DEBAK: Penduduk kampung di Debak amat berterima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas Mohammad Razi Sitam atas keprihatinan dan usaha beliau menjadikan projek tebatan banjir sebagai keutamaan di kawasan itu.

Ia selepas beliau berjaya memohon peruntukan sebanyak RM30 juta di bawah Projek Rakyat yang diluluskan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg bagi tujuan tersebut.

Pada Ahad, Mohammad Razi yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak Dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak meluangkan masa mengadakan pertemuan dengan penduduk kampung yang terlibat dengan urusan pampasan tanah bagi projek pembinaan tebatan banjir ini.

Dalam perbincangan ini, penduduk kampung menyuarakan permohonan agar jumlah pampasan tersebut dinaikkan sedikit dari jumlah yang ditawarkan.

Sehubungan itu, Mohammad Razi akan menyuarakan permohonan penduduk kepada Agensi Jabatan Tanah Dan Survei.

Pada masa sama, beliau turut memohon agar penduduk kampung memberikan kerjasama yang utuh agar projek ini dapat dilaksanakan dengan sepenuhnya.

Mohammad Razi kemudiannya meluangkan masa meninjau Program Penambahbaikan Rumah Rakyat Miskin Sarawak (PPRMS) di sekitar Debak Laut susulan pemilik rumah tersebut memohon bantuan bagi penyambungan elektrik ke rumah.

Ketika ditemui, beliau berkata PPRMS merupakan salah satu initiatif dibawah Kerajaan Negeri Sarawak untuk membantu rakyat sarawak yang kurang berkemampuan.

Katanya, Program PPRMS telah mula diperkenalkan sejak 2018 dan merupakan salah satu initiatif di bawah kepimpinan Premier Sarawak dalam usaha membantu memberikan keselesaan kepada keluarga yang kurang berkemampuan.

Beliau kemudiannya melihat sendiri keadaan rumah bagi projek bina semula program Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang telah siap di Debak Laut dan Kampung Babu. – EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *