Datuk Amar Awang Tengah Ketuai Kunjungan Hormat Terhadap Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II Brunei Darussalam

UKAS  > Edisi-Utama >  Datuk Amar Awang Tengah Ketuai Kunjungan Hormat Terhadap Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II Brunei Darussalam
0 Comments

RABU, 22 MAC 2023

BRUNEI DARUSSALAM: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mengadakan kunjungan hormat terhadap Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II Brunei Darussalam, Dato Seri Setia Awang Erywan Pehin Datu Pekema Jaya Mohd Yusof di Brunei Darussalam, pada Rabu.

Kunjungan yang diadakan di Pejabat Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri Brunei tersebut bertujuan membincangkan peluang kerjasama antara negara Brunei Darussalam dan Sarawak bagi meningkatkan aktiviti sosioekonomi yang dapat memberikan manfaat kepada kedua belah pihak.

Antara perkara yang dibincangkan adalah berkaitan pembangunan Lebuh Raya Pan Borneo dan Lebuh Raya Pesisir Utara serta memudahcara pergerakan lintas sempadan termasuk kesediaan kerajaan Sarawak dalam membantu negara Brunei Darussalam mencapai 10 peratus sumber tenaga boleh diperbaharui.

Untuk rekod, kunjungan hormat tersebut merupakan susulan daripada pertemuan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah bersama Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang turut disertai delegasi kerajaan Sarawak pada bulan Februari lepas.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi Dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Setiausaha Kerajaaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agong dan Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Danau Paulus Palu Ngumbang.

Rombongan turut diiringi wakil daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Pelaburan, Unit Perancang Ekonomi (EPU) Sarawak, Jabatan Kerja Raya (JKR), Regional Corridor Development Authority (RECODA) dan Sarawak Energy Berhad. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *