Hutan Sarawak Diurus Secara Berkekalan

UKAS  > Edisi-Selatan >  Hutan Sarawak Diurus Secara Berkekalan
0 Comments

RABU, 22 MAC 2023

KUCHING: Jabatan Hutan Sarawak (JHS) menafikan kenyataan pihak RimbaWatch bahawa telah kehilangan lebih banyak kawasan hutan berdasarkan kajian ke atas unjuran yang telah dibuat oleh Global Forest Watch. 

Pengarah Hutan Sarawak, Datu Hamden Mohammad memberitahu, anggaran yang dibuat oleh pihak RimbaWatch adalah berdasarkan persepsi melihat kepada trend semasa pembukaan kawasan tanah untuk pembangunan.

“Kita tidak menafikan bahawa Sarawak sedang pesat membangun menuju ke arah negeri maju menjelang 2030. 

“Memang terdapat kawasan tanah yang dibuka untuk tujuan pembangunan pelbagai sektor seperti pertanian, pembukaan bandar dan perumahan, industri dan sebagainya. 

“Bagaimanapun, Sarawak berusaha untuk mengimbangi pembangunan ini dengan kelestarian alam sekitar, lebih-lebih lagi dalam mengekalkan kawasan hutan di Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu. 

Jelasnya lagi, berdasarkan Sarawak Land Use Policy 2012 menetapkan 7 juta hektar untuk tujuan guna tanah perhutanan iaitu hutan simpan kekal (6 juta hektar) dan bagi tujuan kawasan terlindung sepenuhnya (1 juta hektar).

“Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 2021 Siri 2 bertajuk Auditan Khas Pengurusan Hutan dan Impak kepada Alam Sekitar, Aktiviti Kementerian/ Agensi dan Pengauditan Pematuhan Kementerian / Agensi Negeri, yang dikeluarkan pada 6 Januari 2023, telah merumuskan hutan di negeri Sarawak telah diurus secara berkekalan bagi memberi manfaat sosio ekonomi dan mengekalkan kelestarian alam sekitar. 

“Laporan ini mengesahkan kawasan litupan berhutan adalah pada 7.65 juta hektar iaitu 61.4 peratus daripada keseluruhan keluasan Sarawak,” jelasnya lagi. 

Tambahnya, Kelestarian Alam Sekitar menjadi agenda utama dalam Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030) ke arah Sarawak maju menjelang 2030. 

“Antara lain langkah-langkah yang telah ditetapkan adalah memulihara dan rehabilitasi kawasan-kawasan hutan yang terosot. 

“Antara lima program yang dijalankan untuk memastikan usaha-usaha pemuliharaan dan rehabilitasi hutan adalah Program penanaman pokok secara besar-besaran di seluruh Sarawak, melalui Greening Sarawak Campaign dan Penghijauan Malaysia. 

“Ianya di bawah Kempen Penghijauan Malaysia Sarawak komited untuk menanam sebanyak 35 juta pokok dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-12 (2021-2025). 

Ujarnya lagi, sejak 2021 hingga kini, Sarawak telah berjaya menanam sebanyak  21,091,996 pokok hutan serta pelbagai kempen dan program penanaman telah dilaksanakan dengan rancak dengan kerjasama semua pihak.

Selain itu katanya, program lain adalah mengurangkan kadar penebangan pembalakan hutan, dengan menggunapakai kaedah pembalakan berimpak rendah Reduce Impact Logging (RIL).

“Oleh sebab itu, Pensijilan Pengurusan Hutan, diwajibkan ke atas semua kawasan lesen jangka panjang (Long-Term Forest Timber License). 

“Setakat ini,  sebanyak 18 Unit Pengurusan Hutan (FMU) dengan keluasan 1,476,244 ha telah berjaya mendapat pensijilan pengurusan hutan manakala sebanyak 6 Unit Pengurusan Ladang Hutan (FPMU) dengan keluasan 94,966 ha kawasan FPMU  telah mendapat pensijilan pengurusan ladang hutan oleh Malaysian Timber Certification Council (MTCC) yang mendapat pengiktirafan Programme for the Endorsement of Forest Certification (PEFC) yang berpusat di Geneva,” ujarnya. 

Justeru katanya, berdasarkan semua usaha yang telah dilaksanakan, Sarawak akan dapat mengekalkan litupan hutan dan kelestarian alam sekitar untuk kesejahteraan rakyat.

“Ini telah diperakui oleh Laporan Ketua Audit Negara 2021 yang dikeluarkan pada 6 Januari 2023,” jelasnya lagi. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *