JHS Terus Komited Tanam Lebih Banyak Pokok

UKAS  > Edisi-Selatan >  JHS Terus Komited Tanam Lebih Banyak Pokok
0 Comments

RABU, 22 MAC 2023

SIMUNJAN: Jabatan Hutan Sarawak (JHS) terus komited dalam usaha menanam lebih banyak pokok di negeri ini.

Pengarahnya, Datu Hamden Mohammad berkata, hutan memainkan peranan yang penting dalam memberikan oksigen secukupnya untuk kehidupan manusia agar terus kekal sejahtera.

Beliau juga menyatakan bahawa hutan juga secara tidak langsung dapat dijadikan sebuah tempat untuk menjalankan aktiviti sihat dan berekreasi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) selepas merasmikan Program Nature Fun Ride, Run and Walk Sempena meraikan Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Tahun 2023 di Hutan Simpan Sabal Simunjan pada Selasa.

Dalam pada itu, Datu Hamden berkata hutan di Sarawak kaya dengan kepelbagaian biologi yang unik sehingga ia dikenali sebagai salah satu kawasan biological hotspots dunia.

Jelasnya, kawasan hutan di Sarawak juga merupakan penyumbang tertinggi kepada liputan hutan di Malaysia dengan kadar peratusan sebanyak 44 peratus.

“Kalau mengikut data kita, Sarawak masih mempunyai 62 peratus kawasan berhutan daripada keseluruhan.

“Kita juga menyumbang 44 peratus kepada Malaysia.

“Antara tiga wilayah Sabah, Sarawak dan Peninsular, kita menyumbang 44 peratus adalah satu peratusan yang agak besar,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata program ini bukan sekadar melibatkan aktiviti penanaman pokok, tetapi juga bertujuan membaikpulih kawasan hutan secara lanskap bagi memenuhi keperluan masyarakat sejagat pada masa kini dan akan datang.

Ia juga selaras dengan agenda ‘Greening Sarawak’ dengan meluaskan skop penanaman dalam meningkatkan kesedaran semua pihak mengenai pentingnya kawasan liputan hijau dan hutan melalui penanaman pelbagai jenis pokok.

Mengulas lanjut, beliau berkata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg  menjalankan pelbagai usaha untuk menjadikan Sarawak sebagai negeri yang membangun menjelang 2030.

Menurutnya, dalam usaha membangunkan Sarawak menjadi negeri terulung, hutan dan sumbernya memainkan peranan penting juga penyumbang kepada pembangunan sosio-ekonomi Sarawak serta mitigasi kepada perubahan iklim global.

Dalam program sama, Datu Hamden dan tetamu kenamaan yang lain melakukan aktiviti berjalan kaki sejauh dua kilometer disusuli dengan aktiviti penanaman pokok.

Sebanyak 2,000 jenis pokok ditanam oleh kakitangan daripada JHS yang terdiri daripada spesis asli bernilai tinggi seperti belian, meranti, kapur dan sebagainya dengan menggunakan kaedah ‘island planting’.- EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *