KKR Laksana Penyenggaran Rutin Jalan Persekutuan Di Lawas

UKAS  > Edisi-Utama >  KKR Laksana Penyenggaran Rutin Jalan Persekutuan Di Lawas
0 Comments

RABU, 22 MAC 2023

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) telah melaksanakan penyenggaraan rutin bagi Jalan Persekutuan di Lawas dengan anggaran peruntukan sebanyak RM162,000 sebulan.

Menterinya Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi memberitahu, manakala sebanyak RM9.28 juta telah diperuntukan untuk kerja-kerja berkala pavemen dan berkala bukan pavemen dari tahun 2018 hingga 2022 bagi laluan jalan berkenaan.

“Jumlah panjang jalan Persekutuan di Bahagian Limbang yang disenggara oleh syarikat konsesi adalah sepanjang 120.879 kilometer (km), manakala bagi Jalan Persekutuan di Parlimen Lawas sahaja adalah sepanjang 62.729 km,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi pertanyaan lisan yang tidak dijawab dalam Dewan Rakyat di sini pada Selasa.

Terdahulu, Ahli Parlimen Lawas Dato’ Henry Sum Agong bertanya mengenai apakah usaha dan langkah pihak Kementerian untuk memastikan keadaan Jalan Persekutuan di Parlimen Lawas sentiasa baik memandangkan terdapat banyak kerosakan dan tamat tarikh luput jalan tersebut.

Dato’ Sri Alexander juga memaklumkan, beberapa tindakan segera telah diambil oleh konsesi Jalan Persekutuan pada tahun 2022 sebagai langkah penyelesaian jangka masa pendek menangani masalah jalan berlubang sepanjang Jalan Persekutuan di Lawas.

“KKR melaksanakan penampalan jalan atau ‘pothole patching’ di bawah kerja- kerja Penyenggaraan Rutin.

“Kuantiti kerja tampalan potholes bagi tempoh Januari hingga Disember 2022 yang telah dilaksanakan di laluan tersebut adalah sebanyak 1,199 bilangan.

“Manakala bagi jalan yang rosak teruk berpunca daripada kelemahan struktur pavemen, kerja-kerja penyenggaraan telah dilaksanakan di bawah program Penyenggaraan Berkala Pavemen dengan peruntukan penyenggaraan sebanyak RM700,000,”katanya lagi.

KKR juga katanya, telah memperkenalkan kaedah ‘Cold-in Place Recycling’ (CIPR) dalam pembaikan turapan jalan untuk menambah kekuatan struktur jalan dan meningkatkan hayat turapan jalan.-Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *