Projek Pemulihan, Penaiktarafan Infrastruktur Saliran & Pengairan Skim Tg Sirik Diluluskan

UKAS  > Edisi-Utama >  Projek Pemulihan, Penaiktarafan Infrastruktur Saliran & Pengairan Skim Tg Sirik Diluluskan
0 Comments

RABU, 22 MAC 2023

KUALA LUMPUR: Kerajaan telah meluluskan satu projek yang melibatkan Kampung Penipah dan Kampung Tekajong dengan kos silling sebanyak RM11.5 juta.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, projek yang diluluskan itu adalah di bawah ‘Cadangan Pemulihan dan Penaiktarafan Infrastruktur Saliran & Pengairan Skim Tg Sirik (Blok A&B Tekajong), Pulau Bruit, Bahagian Mukah’.

“Ke semua infrastruktur pengairan dan saliran dinaiktaraf bagi mempertingkatkan keberhasilan tanaman di kawasan tersebut.

“Projek tersebut di dalam fasa awal rekabentuk dan dirancang untuk ditender pada akhir tahun 2023,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi pertanyaan lisan Ahli Parlimen Tanjong Manis Yusuf Abdul Wahab yang tidak dijawab dalam Dewan Rakyat di sini pada Selasa.

Datuk Seri Mohamad menambah, sepanjang tahun 2020 hingga 2022, kerajaan telah melaksanakan empat projek penyelenggaraan di kawasan kedua-dua kampung tersebut yang berjumlah RM877,292.

Selain itu, katanya, Projek ‘Cadangan Pemulihan dan Penaiktarafan Infrastruktur Saliran & Pengairan Skim Tg Sirik (Blok C), Pulau Bruit juga telah diluluskan dengan silling peruntukan sebanyak RM10.5 juta.

Beliau berharap dengan pelaksanaan projek itu yang dirancang untuk ditender pada hujung tahun 2023 akan membaikpulih semua infrastruktur pertanian yang telah rosak atau uzur di kawasan tersebut.

Sementara itu, Datuk Seri Mohamad turut mendedahkan, di bawah inisiatif kerajaan dua projek hakisan pantai Kampung Paloh dan Kampung Kedang telah diluluskan dengan kos bernilai RM20.5 juta dan RM6.4 juta bagi menangani masalah di kawasan tersebut.

Jelasnya, kedua-dua projek tersebut berada dalam fasa akhir rekabentuk dan dicadang untuk ditender secara berperingkat mulai sukuan kedua tahun 2023.-Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *