Projek Rakyat SK Merpati Jepang Beri Impak Besar Terhadap Kualiti Pendidikan

UKAS  > Edisi-Selatan >  Projek Rakyat SK Merpati Jepang Beri Impak Besar Terhadap Kualiti Pendidikan
0 Comments

RABU, 22 MAC 2023

KUCHING: Kedudukan kewangan negeri ini yang kukuh membolehkan kerajaan Sarawak terus merancang dan melaksanakan pelbagai inisiatif untuk rakyat.

Antara inisiatif tersebut termasuklah projek pembangunan sekolah melalui Projek Rakyat seperti projek menaik taraf blok pentadbiran baharu dan blok akademik Sekolah Kebangsaan (SK) Merpati Jepang Kuching.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, projek-projek seperti ini akan membawa impak dan kesan yang besar kepada para pelajar, guru-guru, ibu bapa dan komuniti setempat dari segi kualiti pendidikan.

“Ini adalah satu-satunya sekolah yang dibiayai oleh kerajaan negeri untuk dinaik taraf dan sekolah ini sudah tentu akan mempunyai kemudahan-kemudahan yang kondusif kepada pembelajaran dan juga kepada guru. Jadi inilah pendekatan kerajaan negeri.

“Saya tidak mempunyai masalah untuk membantu sekolah-sekolah seperti ini dengan harapan kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan akan menggunakan pendekatan ini sebagai cara memperbaiki sekolah-sekolah kita di Sarawak,”katanya dalam sidang media selepas merasmikan blok pentadbiran baharu dan blok akademik dinaik taraf sekolah tersebut sekaligus menyaksikan simbolik penyerahan replika kunci oleh Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Ir Richard Tajan kepada Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) Azmi Bujang, pada Rabu.

Tambah Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari, selain SK Merpati Jepang, antara sekolah yang turut dinaik taraf dan dilengkapkan dengan kemudahan lif adalah SK Rakyat Jalan Haji Bolhassan dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Abang Haji Openg.

Untuk makluman, setelah bilangan pelajar SK Merpati Jepang bertambah, bangunan lama yang pada asalnya digunakan sebagai pejabat perhutanan diroboh dan digantikan dengan bangunan tambahan baharu untuk sekolah itu.

Pelaksanaannya yang memakan kos RM10.3 juta telah bermula pada 30 Oktober 2020 dan siap sepenuhnya pada 21 Februari 2023.

Skop projek ini termasuk pembinaan satu blok pentadbiran yang lengkap dengan kelas pra sekolah, makmal Sains, perpustakaan, bilik guru, bilik mesyuarat, surau baharu, gelanggang sukan terbuka termasuk menaik taraf blok akademik lama yang dibina dalam tahun 1980-an.

Di samping itu, bangunan sekolah ini menjadi sebuah bangunan ikonik di kawasan Satok dengan adanya kelengkapan satu unit lif dan satu jejantas dua tingkat yang diilhamkan oleh Premier Sarawak sendiri.

Terdahulu semasa berucap, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari turut menekankan mengenai pembangunan ‘talent pipeline’ dalam bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) bermula dari peringkat awal persekolahan.

Menurut beliau, melalui sistem pendidikan yang berkualiti dan berasaskan STEM, maka Sarawak dapat membangunkan modal insan dan tenaga kerja yang diperlukan untuk memacu kemajuan negeri ini pada masa hadapan.

“Sekarang semua ada kaitan dengan Sains, bermakna kita mesti ada kefahaman dari sudut ilmu Sains.

“Jadi, kita mahu anak-anak kita mahir dan pakar tentang subjek Sains, Matematik dan kejuruteraan termasuk penguasaan Bahasa Inggeris selain Bahasa Malaysia.

“Alhamdulillah kita dah bangunkan sekolah ini, bangunannya canggih dengan kemudahan-kemudahan yang kita beri dengan anak-anak kita, semua kemudahannya cukup dan kita minta ibu bapa untuk melihat pembelajaran anak kita dan berik galakan kepada mereka untuk jangan takut dengan subjek STEM,”ujar beliau.

Turut hadir di majlis itu ialah Timbalan Menteri MEITD Datuk Francis Harden Hollis, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok Dato Ibrahim Baki, Penasihat di Pejabat Premier Sarawak (Pendidikan) Datuk Amar Micheal Manyin Jawong, Yang Dipertua PIBG SK Merpati Jepang Dato Dr.Zaiedi Suhaili dan Guru Besar SK Merpati Jepang Hasim Seli.

Sementara itu, semasa melawat ke bangunan baharu berkenaan, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari juga berkesempatan menyaksikan persembahan bacaan oleh Anak-Anak Permata SK Merpati Jepang daripada Program Pemulihan dan Bimbingan Membaca 2022/2023.

Program yang dilaksana oleh guru-guru pendidikan khas tersebut merupakan bantuan yang diberi kepada murid-murid yang terkesan disebabkan pandemik COVID-19.-Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *