Jumlah Nilai Eksport Industri Perabot Sarawak Dijangka Melebihi RM4 Bilion Menjelang 2030

UKAS  > Edisi-Selatan >  Jumlah Nilai Eksport Industri Perabot Sarawak Dijangka Melebihi RM4 Bilion Menjelang 2030
0 Comments

KHAMIS, 23 MAC 2023

KUCHING: Jumlah nilai eksport industri perabot di Sarawak dijangka melebihi RM4 bilion pada tahun 2030.

Menurut Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA), kerajaan Sarawak berharap dapat memupuk dan melahirkan usahawan perabot profesional muda di bawah program pembangunan usahawan muda bagi merealisasikan aspirasi untuk mencapai jumlah hasil eksport itu.

Katanya, industri perabot telah dikenal pasti di bawah Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 sebagai sektor ekonomi yang penting untuk memacu Sarawak menjadi negeri maju.

“Pelbagai inisiatif telah dianjurkan seperti program pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan usahawan muda untuk memastikan usahawan perabot mampu berdaya saing dan bertaraf dunia.

“Program pembangunan PKS ini menyasarkan memupuk sebanyak 200 PKS dan 65 vendor perabot menjelang tahun 2030 selain membantu sekurang-kurangnya 30 PKS dan lima vendor Bumiputera menembusi pasaran global,” katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.

PUSAKA menambah, taman perabot di Kuching and Tanjung Manis yang berpotensi menjana pelaburan sebanyak RM500,000 juga bakal ditubuhkan melalui kerjasama dengan pemain industri pada masa hadapan.

Selain itu jelasnya, sebuah makmal ujian perabot sedang dibina di Kota Samarahan bagi menyediakan perkhidmatan kepada pengeluar perabot tempatan dan untuk memastikan pematuhan kepada piawaian pasaran global untuk pasaran tempatan dan eksport.

“Inisiatif ini menyasarkan membantu PKS termasuk vendor perabot Bumiputera menembusi pasaran eksport,” katanya lagi. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *