Kerajaan Sarawak komited pastikan tahap pendidikan di negeri ini terus produktif

UKAS  > Edisi-Tengah >  Kerajaan Sarawak komited pastikan tahap pendidikan di negeri ini terus produktif
0 Comments

KHAMIS, 23 MAC 2023

BETONG: Kerajaan Sarawak sentiasa komited dalam memastikan tahap pendidikan di negeri ini terus produktif.

Ahli Parlimen Betong, Dr Richard Rapu berkata ini kerana pendidikan sangat penting kepada semua pelajar dan menjadi penentu ke arah mencapai kehidupan yang lebih baik.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Penutupan ‘Betong Education Fair 2023’ di Dewan Panglima Rentap pada Sabtu.

Program yang belangsung selama satu hari itu padat dengan pelbagai pengisian seperti pemeran pendidikan, aktiviti kursus jangka pendek pembuatan bread, bread pudding, lasagna, pertandingan E-Sport, booth jualan, promosi laptop harga mampu milik dan juga pameran dari beberapa agensi kerajaan. 

Jelasnya, usaha yang dilakukan oleh Jawatankuasa Pengelola itu bertujuan dalam memberi pendedahan dan maklumat berkaitan dengan peluang pendidikan dan bidang kerjaya. 

“Bagi lepasan SPM dan STPM, peluang belajar tidak hanya untuk pelajar yang cemerlang sahaja. Kini peluang terbuka mengikut kesesuaian dan kemampuan masing-masing. 

“Boleh bermula dari peringkat sijil atau diploma sebelum ke peringkat seterusnya. Apa yang penting adalah azam dan tekad. 

Pendidikan yang baik membawa ke arah kehidupan yang lebih baik,” ujarnya.

Dalam pada itu beliau berkata, kejayaan pelajar tidak dapat diukur menerusi jurusan yang dipilih, tetapi bergantung kepada keupayaan menguasai jurusan tersebut. 

Justeru, beliau menyeru kepada pelajar untuk memilih jurusan yang sesuai dan tepat. 

“Bukan atas dasar minat semata-mata, tetapi juga atas pertimbangan pasaran pekerjaan kelak. 

“Punca utama sukar mendapatkan pekerjaan, adalah pilihan bidang yang bukan menjadi keperluan di dalam pasaran pekerjaan ataupun lambakan graduan dari bidang berkenaan,” katanya.

Sementara itu, pada sebelah malam Dr Richard Rapu menyempurnakan Majlis Apresiasi dan Makan Malam Pra-U SMK Spaoh sesi 2021/2022 di Dewan Sinaran SMK Spaoh.

Dalam ucapannya beliau mengucapkan selamat maju jaya kepada semua pelajar tingkatan 6 semester 3 yang telah menjalani ujian semester akhir. 

“Semoga keputusan akan memihak kepada anda semua, dan layak melanjutkan pelajaran ke IPT.

“Tanamkan azam dan niat dari awal untuk belajar sehingga ke peringkat universiti,” katanya.

Tambahnya, kejayaan pelajar tidak dapat diukur menerusi jurusan yang dipilih, tetapi bergantung kepada keupayaan menguasai jurusan tersebut. – EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *