KHAMIS, 13 APRIL 2023

KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg mengetuai bacaan khatam Al-Quran secara berkumpulan bagi tetamu kehormat dalam Khatam Al-Quran dan Iftar Perdana Bersama Premier Sarawak di Dewan Kompleks Islam Sarawak pada malam Rabu.

Kesemua tetamu yang hadir berpeluang mendengar alunan ayat suci Al-Quran yang dibacakan oleh Premier Sarawak.

Detik indah tersebut turut memperdengarkan bacaan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohammad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi merangkap Menteri bertanggungjawab terhadap Hal Ehwal Islam Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan (Pembangunan Usahawan) Dr Ripin Lamat, Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Fazzrudin Abdul Rahman, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha, Mufti Negeri Sarawak Datu Kipli Yassin, Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak Khalidi Ibrahim diikuti pengkhatam jemputan yang lain.

Majlis diserikan dengan bacaan Takhtim pada penghujung bacaan khatam berkenaan.

Sejurus selepas itu, majlis Iftar Perdana bermula sebaik sahaja masuk waktu berbuka puasa.

Turut diadakan sesi penyampaian sumbangan geran berjumlah RM902,400 kepada Urusetia Saudara Kita (USK) di bawah seliaan MIS, disusuli penyerahan sumbangan duit raya kepada 100 orang Anak-Anak Saudara Kita.

Penyampaian disempurnakan oleh Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari serta isteri; Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Datuk Dr Abdul Rahman serta isteri Datin Siti Shorgayah Ahmad Zaidin dan Datuk Misnu serta isteri Datin Jamilah Said.

Dalam majlis sama, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari serta tetamu kehormat juga berpeluang solat Maghrib, Isyak, Tarawih dan Witir berjemaah bersama jemputan yang hadir terdiri daripada Jabatan Agama Islam Sarawak, Jabatan Mufti Sarawak, Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak, Tabung Baitulmal Sarawak.

Seramai 600 orang warga kerja agensi-agensi Islam di bawah Majlis Islam Sarawak (MIS) telah berhimpun dalam majlis tersebut.

Majlis berakhir dengan jamuan moreh sebagai penutup. -Edisi UKAS

add comment