SABTU, 15 APRIL 2023

KUCHING: Kerajaan Sarawak sentiasa komited memastikan teknologi dalam semua bidang di negeri ini terus dipertingkatkan.

Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof berkata, teknologi memainkan peranan yang penting dalam memastikan semua orang mengadaptasi penggunaan teknologi dalam segala bidang.

Jelasnya, penguasan teknologi juga amat penting dalam sektor pertanian, infrastruktur dan sebagainya.

“Teknologi memainkan peranan penting dalam mengautomasikan dan meningkatkan produktiviti dan kualiti komoditi daripada penanaman hingga ke pasaran. 

“Sebagai contoh, lada sebagai salah satu komoditi utama Sarawak terkenal dengan kualiti unggulnya di seluruh dunia dan terus dibangunkan oleh Lembaga Lada Malaysia untuk meningkatkan daya saingnya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Persatuan Teknologi Malaysia 2023 “Teknologi Tanpa Sempadan 2023” di sini pada Sabtu.

Justeru katanya, semua agensi kerajaan perlu memberi tumpuan dalam penyelidikan dan pembangunan khususnya dalam produktiviti pengeluaran barangan sendiri.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi menyatakan bahawa industri getah di negara jatuh di tangga yang kelapan disebabkan pengeluaran terlalu kecil.

“Namun begitu kita tetap menjadi nombor satu dalam pengeluaran hasilan getah,” katanya lagi.

Dato Sri Fadillah menambah, Sarawak juga berhasrat untuk menjadi pengeksport makanan bersih menjelang 2030.

Tegasnya, semua agensi kerajaan, pemain industri dan Persatuan Teknologi Malaysia (TAM) mesti bersatu untuk bekerjasama dan memanfaatkan kepakaran, kemahiran dan teknologi masing-masing terutamanya Kepintaran Buatan, Data Besar, Robotik dan Automasi untuk memacu produktiviti dan pertumbuhan terutamanya dalam pertanian. 

“Saya juga ingin menggesa TAM untuk meneroka peluang baharu bersama agensi berkaitan untuk menerajui pembangunan taman agro dan program pertanian pintar di Sarawak bagi mencapai aspirasi negeri,” tambah beliau lagi. – EDISI UKAS

add comment