SABTU, 15 APRIL 2023

BETONG: Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan II, Michael Tiang Ming Tee turun padang untuk mendengar taklimat dari Majlis Daerah Betong (MDB) dan mengadakan walkabout di beberapa kawasan Betong.

Sesi diadakan pada Jumaat itu turut disertai Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar Dato Gerald Rentap Jabu dan Ahli Parlimen Betong Dr Richard Rapu.

Terdahulu, beliau meninjau ruang pejabat seksyen-seksyen di pejabat Majlis Daerah Betong dan mengambil peluang menyantuni kakitangan di MDB.

Seterusnya, beliau mendengar taklimat yang disampaikan oleh Setiausaha MDB Charlie Keling yang menyentuh mengenai fasiliti, hasil kutipan, kesihatan awam, pelupusan sampah dan beberapa isu yang dihadapi oleh pihak majlis.

Ia disusuli dengan walkabout di kawasan perumahan Taman Kenanga Indah, Betong bagi meninjau perkara berbangkit mengenai sistem perparitan di situ serta meninjau keadaan dan operasi di tapak pelupusan sampah di Jalan Lidong, Betong.

Mereka kemudiannya meninjau operasi Tamu Betong seterusnya menyantuni para peniaga dan pengunjung.

Pada sebelah tengahari, Michael Tiang bersama tetamu lain mengadakan perjumpaan dan makan tengahari bersama komuniti Cina di Old Town Food Court Betong.

Program diadakan dalam skala kecil ini dihadiri ahli-ahli Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), para ketua masyarakat, ketua kaum serta wakil-wakil dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) komuniti Cina di Betong.

Dalam ucapan ringkasnya, beliau berkata Betong amat memerlukan segala sokongan Kerajaan Sarawak sama ada dari segi sumber dan perancangan.

“Saya juga ingin memuji usaha Majlis Daerah Betong, antaranya adalah menguruskan Pasar Tamu Betong dan juga Old Town Food Court Betong ini dengan baik dan teratur.

“Ianya mempunyai daya tarikan dan memberi keseronokan kepada pengunjung. Semua ini juga pastinya hasil sokongan dari wakil rakyat setempat seperti ADUN Layar dan Ahli Parlimen Betong,” katanya.

Tambahnya, beliau akan mengajukan kepada pihak kementerian kaedah untuk menambahbaik pengurusan sampah di Betong.

Tegas beliau, perkara ini tidak dapat ditangguhkan memandangkan Betong semakin berkembang dengan pantas.

Sejurus selepas itu, Dato Gerald, Michael Tiang dan Dr Richard menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan Sempena Perayaan Hari Raya 2023 anjuran Pertubuhan Meninggikan Akhlak Che Zhong Khor Betong.

Dalam ucapannya, Dato Gerald memuji inisiatif Pertubuhan Meninggikan Akhlak Che Zhong Khor Betong kerana menjadikan aktiviti ini sebagai acara tahunan semasa menjelang setiap musim perayaan sama ada Tahun Baru Cina, Hari Raya ataupun Hari Gawai.

Katanya, aktiviti seperti ini menyumbang kepada pengukuhan perpaduan serta keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di Sarawak.

Dalam majlis itu, seramai 55 orang penerima terpilih daripada keluarga kurang berkemampuan dari kalangan masyarakat Melayu di enam buah kampung iaitu masing-masing 10 orang dari Kampung Hilir, Kampung Tengah, Kampung Masjid, Kampung Baru Hulu, Kampung Baru Hilir dan lima orang dari Kampung Pasa Melayu.

Dato Gerald urut menyempurnakan penyerahan sumbangan kepada 56 orang penerima yang masing-masing menerima sekampit beras, sekotak minuman berkarbonat dan sumbangan wang tunai bernilai RM50.

Beliau turut menyerahkan 13 keping cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai keseluruhan RM140,000 kepada sebuah masjid, lima surau, enam JKKK dan sebuah NGO di Kampung Melayu Betong. – EDISI UKAS

add comment