AHAD, 17 APRIL 2023

SARIKEI : Kerjasama antara semua masjid dan surau di Daerah Sarikei amat penting bagi memastikan perhubungan dan silaturahim antara umat Islam di Sarikei terus terjalin erat.

Kerjasama ini amat penting kerana ianya dapat membantu membangunkan serta menambahbaik kemudahan serta peranan masjid dan surau serta meningkatkan syiar Islam.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar Pentadbiran Tanah Dan Alam Sekitar Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang berkata, beliau amat gembira kerana penglibatan generasi muda dalam bertadarus adalah sesuatu yang amat baik agar ada kesinambungan dalam melahirkan umat yang mahir membaca Al-Quran.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Khatam Al-Quran Jawatankuasa Masjid Al-Mutaqqin Sarikei di Masjid Al-Mutaqqin Sarikei pada Sabtu. 

Dalam majlis tersebut, Datuk Len telah menyempurnakan Majlis Khatam Al-Quran dan Penyampaian Sumbangan Khas Lembaga Kebajikan Islam Sarikei (LAKISRI) sempena Ramadan Al-Mubarak dan Aidilfitri 2023. 

Jelasnya lagi, masyarakat Islam di Sarikei juga harus faham tentang peranan LAKISRI dalam menjaga kepentingan serta kebajikan umat Islam di Bahagian Sarikei.

Beliau turut menerangkan status terkini naiktaraf Masjid Al-Mutaqqin Sarikei yang perlu pengubahsuaian bumbung masjid kerana berlaku kebocoran yang telah mengganggu kerja-kerja dalaman.

Katanya, ini sedikit sebanyak melewatkan keseluruhan proses naiktaraf masjid yang sedang dijalankan dan dijangka siap menjelang penghujung tahun ini nanti.

Dalam majlis sama, Datuk Len turut menyampaikan sumbangan kepada asnaf, warga emas dan OKU yang diserahkan melalui Ketua-ketua Kaum di kawasan masing-masing.

Turut hadir Ketua-ketua Jabatan, Temenggong, Pemanca, Penghulu Ketua-ketua Kaum dan masyarakat di Sarikei.-EDISI UKAS 

add comment