Sasar Lebih Ramai Generasi Muda Ceburi Sektor Pertanian

UKAS  > Edisi-Selatan, Edisi-Utama >  Sasar Lebih Ramai Generasi Muda Ceburi Sektor Pertanian
0 Comments

SELASA, 25 APRIL 2023

KUCHING: Lebih ramai anak muda disasarkan untuk menceburi sektor pertanian dalam usaha menggunakan kaedah baharu berteknologi tinggi.

Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Fadillah Yusof berkata, penggunaan teknologi yang serba moden dan terancang mampu meningkatkan hasil tanaman yang diusahakan termasuk kualiti tanaman dan produktiviti pertanian.

“Kita perlu memperkenalkan teknologi baru, kaedah baru penanaman atau penanaman lada serta penyelidikan yang lebih kukuh.

“Di sinilah kita memerlukan golongan muda bukan sahaja untuk mengeluarkan anak benih tetapi juga kaedah baru kerana lada juga sudah kurang.

“Jadi kita perlu menggunakan bahan hibrid yang baharu sama ada kita masih akan menanam di lereng bukit atau akan bertukar kepada pertanian yang berkedudukan iaitu menggunakan semua teknologi baru, rumah hijau dan sebagainya.

“Supaya kita boleh mengawal kelembapan yang akan meningkatkan pengeluaran dan mengurangkan dari segi buruh intensif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri beliau di Pusat Konvensyen CIDB Sarawak, Kuching, pada Selasa.

Dato’ Sri Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya menambah, semua pihak harus bersiap siaga dalam menghadapi cuaca ekstrem yang melanda sejak kebelakangan ini.

Beliau menasihatkan agar seluruh rakyat mengikuti saranan dan mematuhi garis panduan yang telah disediakan oleh pihak berkuasa.

“Tidak kira apa sahaja sektor kita berada, sama ada yang bekerja, berniaga termasuklah peladang pekebun, petani dan juga nelayan, dalam keadaan cuaca yang ekstrem ini kita kena sentiasa bersiap siaga.

“Pastikan kita ikuti nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia sebab mereka yang pakar dan kalau terpaksa bekerja, ataupun berada di luar, ikuti dan patuhi apa sahaja garis panduan yang disediakan supaya kita berada dalam keadaan selamat.

“Sudah pasti ia juga akan mendatangkan risiko kepada sama ada ternakan, pertanian ataupun perladangandan sebab itu kita mungkin kena mengambil langkah dan memastikan keadaan tumbuh tumbuhan kita berada dalam keadaan yang baik,” ujarnya.

Terdahulu, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dan isteri, Puan Sri Datuk Amar Hajjah Juma’ani Tun Tuanku Bujang serta dif-dif kenamaan yang lain telah mengunjungi ke Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Dato’ Sri Fadillah. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *