AHAD, 7 MEI 2023

SIBU: Sarawak memohon penambahan kuota haji sekurang-kurangnya 10 peratus dari jumlah keseluruhan kuota haji Malaysia.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif Salleh berkata, Malaysia mempunyai kuota sebanyak 31,600 manakala jemaah haji Sarawak hanya mendapat lebih kurang 800. 

“Ianya selalu diutarakan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) agar permohonan ini dari orang Sarawak sekurang-kurangnya mendapat 10 peratus kuota haji dikhaskan untuk Sarawak. 

“Alhamdulillah, kita akan menghantar seramai 31,600 jemaah Malaysia ke tanah suci pada tahun ini, yakni kembali ke kuota asal yang dibenarkan oleh Kerajaan Arab Saudi setelah dikurangkan hanya kepada 14,000 jemaah pada musim lalu akibat pandemik COVID-19.”katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam merasmikan Kursus Perdana Haji anjuran Tabung Haji (TH) Sarawak bertempat di Masjid An-Nur, Sibu pada Sabtu.

Datuk Len menambah, TH telah memenangi Anugerah Labbaitom untuk Perkhidmatan dan Program Bimbingan Haji Terbaik Dalam Dunia Islam daripada Kerajaan Arab Saudi. 

Katanya, pencapaian ini bukan sahaja dibanggakan oleh pihak TH, malah menjadi kebanggaan seluruh umat Islam Malaysia. 

“Saya berharap anugerah ini akan menjadi pemangkin untuk TH sentiasa berinovasi dalam penambahbaikan perkhidmatan dan operasi haji akan datang,” ujarnya. 

Dalam pada itu, Datuk Len juga menasihati para jemaah agar mengikut segala arahan yang dikeluarkan oleh TH dan sentiasa berdisiplin sepanjang mengerjakan kewajiban masing-masing.

“Jemaah haji kita telah dikenali sebagai jemaah haji yang berilmu dan berdisiplin. Ini penting kerana kita sudah ada nama di negara Arab Saudi dan sentiasa dihormati, maka marilah kita kekalkan prestasi tersebut,” jelasnya lagi. 

Justeru, Datuk Len mengucapkam terima kasih kepada pihak TH dan para Pembimbing Ibadat Haji atas usaha mereka untuk menganjurkan kursus-kursus haji di tanah air secara fizikal dan juga secara dalam talian sebagai persediaan untuk semua bakal haji.

Turut hadir Setiausaha Politik Premier Sarawak Sayed Azmee Wan Junaidi, Wakil Pejabat Residen Bahagian Sibu Awang Mohammed Nizam Awang Ali Borhan, Pengarah Negeri TH Sarawak, Amat Kassim Pait dan Wakil Pengurusan TH Shahrin  Awaludin.- EDISI UKAS

add comment