AHAD, 14 MEI 2023

ASAJAYA: Pembinaan sebuah terusan besar yang melibatkan projek tebatan banjir Sungai Batang Samarahan dan Sungai Batang Sadong yang dianggarkan sebanyak RM300 juta dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

Pengerusi Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA) yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, projek dua pakej yang giat dilaksanakan itu adalah bagi menangani masalah banjir.

Menurutnya, antara kawasan yang sering terjejas banjir ialah di sekitar kawasan pedalaman dan hulu Samarahan seperti Asajaya, Sadong Jaya dan kawasan sekitarnya.

“Projek ini dilaksanakan oleh agensi pelaksana IRSDA iaitu Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Sarawak yang melibatkan sebuah terusan kira-kira 30 meter lebarnya.

“Apabila projek ini siap, lebihan air akan masuk ke dalam terusan dan keluar ke Sungai Batang Samarahan dan Sungai Batang Sadong,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Asajaya 2023 di Kompleks Sukan Asajaya pada Ahad.

Sementara itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya memberitahu, kawasan Sebuyau, Muara Tuang, Asajaya, Stakan, Simunjan dan Gedong pada masa kini sedang giat dibangunkan dengan pelbagai pembangunan.

“Kesemua ini adalah rancangan rapi daripada Kerajaan Sarawak melalui IRSDA bersama dengan agensi pelaksana yang lain,” katanya.

Turut hadir dalam majlis itu ialah isteri beliau, Datin Seri Hajah Zuraini Abdul Jabbar, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak (Pembangunan Infrastruktur) Ir Aidel Lariwoo, Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan, Dato Peter Minos, Setiausaha Tetap Kementerian Belia & Sukan Dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Morshidi Fredrick, Timbalan Residen Bahagian Samarahan, Anuar Daan, Pegawai Daerah Asajaya, Rais Ahmat dan Temenggung Masyarakat Melayu Bahagian Samarahan, Tuan Haji Chek Bujang. -EDISI UKAS

add comment