JUMAAT, 19 MEI 2023

KUCHING: Pembinaan Bandar Baru Opar bakal mengubah landskap pembangunan di konstituensi berkenaan pada masa hadapan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar Billy Sujang berkata, komponen bagi Bandar Baru Opar ini akan merangkumi pejabat kerajaan, pusat rekreasi dan sosial, stadium bola sepak, tempat kediaman, pusat komersial, pusat persidangan dan premis makanan yang akan membawa limpahan pembangunan sekaligus dapat meransang pendapatan penduduk setempat.

“Kawasan bandar baharu ini akan berkonsepkan “Smart City” yang membawa pelbagai kemudahan awam seperti terminal bas, pusat pendidikan, pusat penjagaan kesihatan, pusat dialisis, bank dan pusat internet yang akan diintegrasikan bersama.

“Buat masa ini, kerja-kerja reka bentuk dan pertapakan sedang diusahakan oleh agensi-agensi yang berkaitan seperti Jabatan Tanah dan Survei, Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA),” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa membahaskan usul penghargaan atas ucapan Yang di-Pertua Negeri Sarawak dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Jumaat.

Dalam pada itu, Billy juga menyuarakan keperluan pembangunan infrastruktur di kawasannya terutamanya infrastruktur jalan dan jambatan.

Ujarnya, antara usaha yang diperlukan adalah dengan menaik taraf jalan raya sepanjang 10 kilometer yang hanya menggunakan jalan tanah dan jalan kelikir yang lemah antara Kampung Sedaing ke Kampung Kendaie yang telah lama tertunggak.

“Dianggarkan RM60 juta kerja naik taraf akan sudah pasti membawa impak positif kepada sekolah rendah Kendaie serta Kampung Pasir Hilir, Kampung Bukit Batu dan Kampung Kendaie sendiri,” tambahnya lagi.

Beliau turut menekankan keperluan menaik taraf segera Jalan Jangkar ke Jalan Kampung Pasir Tengah yang memerlukan peruntukan sebanyak RM36 juta.

Selain itu, Billy turut membangkitkan isu status Jambatan Selampit bernilai RM27 juta yang telah lama diluluskan.

“Saya berharap Jabatan Kerja Raya dan pihak kementerian kemaskini status Jambatan Selampit bernilai RM27 juta yang telah lama diluluskan serta Jalan Selampit ke Kampung Kendaie yang bernilai RM72 juta,” katanya. -EDISI UKAS

add comment