SABTU, 20 MEI 2023

GEDONG: Gerakan koperasi di luar bandar pada masa kini terutamanya di peringkat komuniti amat penting dan penubuhannya sangat bermanfaat kepada masyarakat sekitar.

Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee berkata, koperasi memiliki peranan yang amat penting dalam memajukan masyarakat di Malaysia amnya dan Sarawak khususnya.

“Antaranya adalah pemerkasaan ekonomi, yang boleh membantu rakyat untuk meningkatkan ekonomi mereka. Hal ini kerana koperasi memberi peluang kepada ahlinya untuk bekerjasama dan berkongsi sumber seperti modal, buruh dan pengetahuan.

Selain itu, koperasi turut memainkan peranan dalam membina hubungan sosial yang kukuh dan meningkatkan kualiti hidup rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Penutupan Program Miricle dan Hari Keluarga Koperasi Kampung Lubok Punggor Berhad di Dewan Masyarakat Kampung Lubok Punggur pada Jumaat.

Rodiyah menambah, koperasi memudahkan kerjasama antara ahli, mewujudkan rasa saling percaya dan solidariti.

Jelasnya, mereka juga boleh terlibat dalam aktiviti pembangunan sosial dan komuniti, seperti pemerkasaan wanita, perlindungan alam sekitar, atau membina infrastruktur tempatan.

“Ini dapat diperolehi sekiranya koperasi itu ditadbir urus dengan baik dan penuh bertanggungjawab oleh Lembaga serta mendapat sokongan padu daripada anggotanya.

“Berdasarkan statistik daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia sehinggan 31 Disember 2021, bilangan koperasi di Malaysia adalah sebanyak 14,843 buah, sementara di Sarawak terdapat 1,109 buah koperasi.

“Keseluruhan keanggotaan koperasi adalah seramai tujuh juta orang manakala pemilikan aset bernilai RM154 billion dan perolehan sebanyak RM41 billion yang mana dijangkakan pada tahun 2030, koperasi mensasarkan perolehan sebanyak RM50 billion,” ujarnya.

Hadir sama, Pengarah Institut Koperasi Malaysia Zon Sarawak, Siti Maimunah Jerni, Pengerusi Koperasi Kampung Lubok Punggor, Edi Aming, Ketua Kampung Lubok Punggor Zakaria Lasit dan Kaunselor Izzudin Abdullah. -EDISI UKAS

add comment