SELASA, 23 MEI 2023

KUCHING: Projek sistem pembetungan berpusat untuk bandar raya Kuching dan Miri akan diteruskan melalui beberapa projek yang dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan.

Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Dato Sri Prof Dr Sim Kui Hian berkata, sistem pembetungan berpusat Miri Fasa 2 dengan nilai skim sebanyak RM450 juta telah diluluskan.

“Pelaksanaan fasa 2 ini akan meningkatkan liputan sistem pembetungan berpusat di Miri dengan kerja-kerja fizikal dijadual dimulakan menjelang suku keempat tahun 2024,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan kementeriannya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Selasa.

Tambahnya, pelaksanaan sistem pembetungan berpusat bandar Miri Fasa 1 yang terbahagi kepada dua pakej dengan Pakej B telah siap sejak tahun 2020, namun Pakej A pula tertangguh kerana keadaan tanah bawah tanah yang tidak memuaskan.

Mengulas mengenai sistem pembetungan berpusat di Kuching, Dato Sri Dr Sim berkata, sistem pembetungan berpusat bandar Kuching Pakej 2 bernilai RM750 juta dijangka siap suku ketiga tahun 2024.

Jelas beliau,  pelaksanaan projek tersebut kini mencapai 74 peratus siap.

“Pakej sistem pembetungan berpusat Kuching 3 yang dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan juga telah diluluskan dengan nilai skim sebanyak RM382 juta dengan kerja-kerja fizikal dijangka dimulakan pada tahun 2024.

“Kerajaan Persekutuan juga telah meluluskan pembinaan loji rawatan enap cemar septik tambahan untuk bandar Betong dan Sarikei dengan kerja-kerja fizikal dijangka bermula dalam suku keempat tahun ini,” ujarnya. -EDISI UKAS

add comment