SELASA, 23 MEI 2023

KUCHING: Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (MPHLG) telah memperuntukkan sebanyak RM17 juta untuk melaksanakan kerja-kerja penambahbaikan saliran di bandar dan projek mitigasi banjir.

Menterinya yang juga Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Prof. Dr Sim Kui Hian berkata ketika ini, terdapat dua projek penambahbaikan saliran yang masih dilaksanakan selepas projek di Kampung Jeriah Sibu (Fasa 2) telah lengkap.

“Dua lagi projek penambahbaikan saliran telah diluluskan untuk kawasan Kubong, Limbang dan Taman Desa Ilmu, Kota Samarahan yang kini dalam peringkat reka bentuk dan perancangan,” katanya semasa sesi penggulungan kementeriannya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Selasa.

Selain itu katanya, terdapat lima projek mitigasi banjir iaitu Rancangan Tebatan Banjir (RTB) telah diluluskan.

“RTB Sibu (Fasa 4), RTB Bintulu (Fasa 2), RTB Miri (Fasa 2), RTB Sg. Semariang serta kerja-kerja penambahbaikan saliran di Jalan Datuk Amar Kalong Ningkan dan Jalan Datuk Tawi Sli kini di bawah peringkat reka bentuk dan perincian,” jelasnya lagi.

Beliau menjelaskan lagi, kementeriannya juga telah diperuntukkan sebanyak RM75 juta untuk pelaksanaan 456 Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi pelbagai daerah dengan projek-projek tersebut kini dalam peringkat perancangan. – EDISI UKAS

add comment